BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 3, 2009

Perangkap Lebuhraya

Jam di atas meja kerjanya menunjukkan angka lima petang. Setengah jam lagi cukuplah lapan jam dia bekerja untuk hari ini. Seperti kebanyakan pekerja kolar putih sepertinya, di waktu-waktu sebegini memang sedang bersedia untuk balik. Selepas memadamkan komputer di atas meja, tiba-tiba telefon yang terletak di sudut mejanya berdering

Kring! Kring! Farid mengarahkan pandangannya ke situ. Dengan malas dia mencapai gagang telefon berwarna merah jambu itu.

“Hello! Farid di sini.”

“Farid, saya ni. Awak masuk bilik saya sekejap.”

“Baiklah Encik Harun.” Selepas selesai perbualan, Farid lantas meletakkan semula gagang telefon ke tempatnya. Langkahnya dihayun perlahan menuju ke bilik Encik Harun yang terletak berhadapan dengan biliknya.

Tok! Tok! Pintu bilik Encik Harun diketuknya perlahan.

“Masuk!” Terdengar jawapan dari dalam bilik. Farid memulas tombol pintu lalu masuk ke dalam bilik lelaki berumur separuh abad dan berkepala hampir botak itu. Lelaki yang dipanggil Encik Harun itu menjawat jawatan sebagai Pengurus Kewangan di syarikat tempat Farid mencari rezeki.

“Ya, ada apa Encik Harun nak jumpa saya?” Soal Farid sopan. Walaupun Encik Harun berwajah garang dan seorang yang sangat tegas namun beliau merupakan seorang ketua yang baik dan bertimbang rasa. Farid sangat mengagumi dan menghormati ketuanya itu.

“Ha! Farid. Saya sebenarnya nak mintak tolong awak sikit ni.” Jawab Encik Harun. Farid menunggu kata-kata yang bakal disampaikan oleh Encik Harun sambil memandang tepat ke wajah ketuanya itu.

Setelah agak lama menanti, Farid yang merasa kurang sabar terus bersuara. “Apa yang boleh saya tolong, Encik Harun?” Soalnya. Encik Harun memandang ke arahnya sambil mengukir senyuman.

“Begini Farid. Awak tahukan yang esok saya kena ke Perlis untuk buat pembentangan di cawangan kita di sana. Semua slide yang hendak saya bentangkan esok telah saya sediakan. Tapi petang tadi saya terima panggilan dari adik saya mengatakan yang ibu saya sakit kuat di kampung. Saya terpaksa balik ke kampung menjenguk ibu saya tu. Jadi saya harap awak dapat menggantikan saya ke Perlis esok.” Wajahnya kelihatan sangat mengharap. Farid berasa serba salah. Hendak ditolak tidak sampai hati kerana ketuanya itu bukan sengaja berbuat begitu. Hendak diterima masanya telah suntuk. Setelah berfikir seketika, akhirnya Farid bersetuju.

“Baiklah Encik Harun. Nampaknya malam ni jugaklah saya terpaksa bertolak ke sana.” Ujarnya.

“Farid, kalau awak nak guna kereta syarikat tu, awak gunalah. Kalau awak nak guna kereta sendiri pun tak apa. Nanti segala perbelanjaan minyak, tol, makan dan penginapan, awak claim balik.” Encik Harun memberi cadangan.

“Saya rasa eloklah saya guna kereta saya sendiri je Encik Harun. Kereta saya tu pun tak pernah jalan jauh, setakat dalam KL ni aje sejak dibeli.” Balas Farid sambil tersengih. Encik Harun turut tersenyum melihat anak buahnya itu yang tidak pernah mengatakan tidak setiap kali dia meminta pertolongan.

“Baguslah kalau macam tu. Farid, saya rasa eloklah awak balik sekarang. Boleh juga awak siapkan barangan peribadi yang awak hendak bawa sekali. Dan jangan lupa bawa sekali beg ni. Dalam ni ada semua slide yang awak nak gunakan esok.” Encik Harun mengingatkan Farid yang baru hendak melangkah menuju ke pintu sambil memuncungkan mulutnya ke arah kerusi di depannya. Farid menoleh lalu tersenyum kerana kealpaannya. Tangannya pantas mencapai beg yang terletak di atas kerusi dan meminta diri untuk balik ke biliknya. Selesai mengambil barangannya di bilik, Farid lalu pulang ke rumah.

Suasana jalanraya di Kuala Lumpur pada waktu petang terutama waktu puncak memang sangat meletihkan. Farid juga tak lepas dari menghadapi perkara yang sama. Kereta yang dipandu seperti tidak bergerak di atas jalan raya. Kelihatan di persimpangan, terpacak berdiri di tengah-tengah jalan polis trafik berbaju putih menjaga lalu lintas agar teratur dan lancar. Sebagai seorang manusia yang telah dididik supaya bersabar dalam apa jua tindakan, Farid sentiasa bertenang sepanjang berada di dalam kereta yang dipandunya. Setelah lebih sejam berada di dalam kereta, akhirnya Farid selamat sampai ke rumah.

“Lambat abang sampai hari ni bang?” Sapa Linda, isteri Farid yang menemankan anak mereka membuat kerja sekolah di ruang tamu sebaik Farid membuka pintu.

“Hurm… Hari ni jalan jem teruk sikit la. Tak macam selalu.” Jawab Farid sambil berlalu naik ke bilik. “Yang, tolong siapkan baju abang sepasang dua. Abang kena ke Perlis malam ni.” Pesannya sambil melangkah mendaki ke bilik.

“Ada apa ke sana bang? Tergesa-gesa je. Ada apa-apa ke ni?” Linda bertanya seperti seorang polis pencen.

“Encik Harun yang minta abang gantikan dia buat pembentangan kat cawangan sana. Petang sebelum balik tadi baru dia bagitau abang.” Jawab Farid.

“Kenapa dia minta abang ganti?” Linda yang mengikuti di belakangnya terus bertanya.

“Dia nak balik kampung sebab mak dia sakit kuat.” Balas Farid sambil masuk ke bilik mandi. Seketika terdengar bunyi jirusan air di bilik mandi. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, Farid keluar dari bilik mandi dan bersiap.

“Makan dululah bang. Nanti takut lapar pula di tengah perjalanan.”

“Ye lah. Abang pun lapar ni. Abang rasa lepas solat Isyak baru abang bertolak.” Ujarnya. Mereka lantas turun ke bawah semula. Linda menyediakan makan malam sementara Farid menggantikan Linda melayani anak mereka menyelesaikan kerja rumah yang diberi oleh guru.

Selesai makan dan bersolat, Farid memulakan perjalanannya bersendirian. Ketika baru memasuki lebuhraya menuju ke utara tanahair, masih kelihatan banyak kenderaan di kedua-dua arah. Suasana malam di lebuhraya masih seperti suasana di Kuala Lumpur di waktu tengah malam. Masih banyak kenderaan melaluinya.

Farid menghidupkan radio keretanya sebagai peneman. Memandu bersendirian di waktu malam tentu mengantuk jika tiada sebarang penyegar. Hendak berbual, tiada kawan di sebelah untuk dilayan bercerita. Hendak menghisap rokok, Farid bukanlah seorang perokok, oleh sebab itulah dia memilih siaran Hot.fm yang lebih hangat dari biasa menemani sepanjang perjalanannya.

Ketika melepasi satu susur keluar ke tol, suasana di kiri kanan lebuhraya terasa seperti suram dan sunyi walaupun terdapat tiang-tiang lampu berderetan di tepi lebuhraya. Tiada sebarang kenderaan yang melalui lebuhraya ketika itu.

“Hai! Nampaknya aku sorang je yang berada di atas lebuhraya ni. Takde satupun kereta mengikuti mahupun berselisih dengan aku ni.” Getus Farid sendirian. Cermin pandang belakang diintainya. Sah! Takde satu keretapun yang mengikutinya.

Jam di dashboard kereta dijelingnya. “Dah pukul satu pagi. Patutlah sunyi.” Bisiknya. Siaran radio kereta ditukar. “Layan Sinar.fm la sekejap.” Seketika berkumandang lagu-lagu cinta berentak perlahan memenuhi ruang dalam kereta. Tiba-tiba dia terasa panas walaupun pendingin udara memang telah sedia terpasang sejak dia memulakan perjalanan.

“Ish! Apsal panas sangat ni? Aircond dah maximum aku pasang ni.” Farid mengomel sendirian. Cermin kereta lantas diturunkannya. “Lega dapat angin segar. Nyaman.” Tetiba pandangannya terarah ke tepi jalan. Dia lalu memperlahankan sedikit keretanya. Matanya tertancap pada sesusuk tubuh wanita yang berdiri di tepi lebuhraya.

“Apa pulak perempuan ni buat kat tepi highway ni? Ada rumah ke dekat-dekat sini agaknya?” Farid merasa sedikit curiga. Keretanya dipandu agak perlahan, namun tiada tanda-tanda dia hendak berhenti bertanyakan arah wanita itu. Ketika melintasi wanita itu, hidungnya tercium bau yang sangat wangi. Dipandangnya wajah wanita yang berdiri itu sejenak. Dia tersenyum memandang ke arah Farid. “Manis.” Hatinya berkata. Bibirnya mengukir senyuman nakal namun senyuman itu mati begitu saja.

“Ish! Tak sanggup aku nak berhenti. Entahkan manusia entahkan syaitan. Buatnya perompak ke, nahas aku. Takpun hantu penunggu highway ni, entah apa-apa jadi kat aku pulak nanti.” Persoalan itu bermain-main di dalam kotak fikirannya.

Apabila kenderaannya telah melepasi wanita itu, dia mengintai cermin pandang belakang sekali lagi. Dadanya berdebar apabila wanita itu tidak kelihatan di dalam cermin. Dia menoleh ke belakang untuk memastikan apa yang dilihatnya di cermin dan sah wanita itu tiada di tempat ia berdiri tadi. “Ish! Mana pergi perempuan cantik tu agaknya ye? Cepat sangat hilangnya.” Bisiknya lagi.

Ketika sampai di sebuah hentian yang disediakan oleh pihak lebuhraya, Farid yang merasa sedikit keletihan dan mengantuk memberhentikan kenderaannya. “Berhenti rehatlah kejap. Ngantuk pulak.” Getusnya.

Farid merebahkan kerusi di bahagian pemandu lalu melelapkan matanya seketika. Setelah lebih kurang setengah jam melelapkan mata, Farid lantas bangun dan pergi ke tandas untuk mencuci muka bagi menghilangkan kesan-kesan mengantuk yang dialaminya. Suasana agak sunyi kerana cuma terdapat beberapa orang sahaja pemandu yang berhenti di situ.

Selepas mencuci muka, Farid pergi ke arah deretan kedai yang didirikan oleh pihak lebuhraya. Tujuannya hanya satu, tidak lain untuk mencari segelas teh tarik sebagai penghilang dahaga dan penambah tenaga. Setelah apa yang dicarinya ditemui, dia kembali semula ke arah keretanya yang diparkir di tempat letak kereta yang terletak tidak jauh dari tandas.

Ketika Farid menghayun langkah menuju ke arah keretanya, terasa angin bertiup keras ke mukanya. Bauan wangi menusuk hidung. Lolongan anjing yang entah dari mana datangnya tiba-tiba bersahutan. “Ish! Apa pulak ni?” Bisiknya sambil terus berjalan.

Sebaik sampai di keretanya, Farid terus menghidupkan enjin dan berlalu meninggalkan hentian itu. Ketika menjeling jam di dashboard, kelihatan angka tiga tertera di situ. “Dah pukul tiga pagi. Kejap lagi sampailah ni.” Ucapnya perlahan.

Kira-kira lima puluh meter meninggalkan hentian, Farid terasa pergerakan keretanya agak perlahan walaupun pedal minyak telah ditekan sepenuhnya. “Apsal berat sangat ni?” Katanya sendiri. Tiba-tiba bau wangi yang dihidunya di hentian tadi muncul semula. Perasaannya menjadi tidak menentu. Dia terasa seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikannya. Dia lantas memandang ke belakang melalui cermin pandang belakang.

Farid terkejut apabila terpandang wanita cantik yang dilihatnya sebelum berhenti di hentian tadi berada di kerusi penumpang belakang sambil memandang ke arahnya. Dengan segera dia melarikan pandangannya ke hadapan namun dia sangat terkejut apabila dilihatnya wanita cantik itu sudah berada di atas bonet hadapan keretanya. Wanita cantik itu berubah menjadi satu lembaga hodoh dan melekap di cermin hadapan keretanya. Dia lantas tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbabas ke tepi lebuhraya. Keretanya mengalami beberapa kerosakan akibat terlanggar pembahagi jalan.

Sejurus ditimpa kemalangan tersebut, Farid segera menelefon pihak polis dan bantuan diberikan kepadanya lebih kurang setengah jam selepas itu. Ambulan yang datang setelah dimaklumkan oleh pihak polis menghantar Farid ke hospital berdekatan akibat kecederaan yang dialaminya. Ketika menerima rawatan di hospital, barulah Farid mendapat tahu yang di kawasan itu memang selalu berlaku kemalangan seperti yang dialaminya.

0 comments: