BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, May 26, 2009

Wanita Berpakaian Serba Putih

“Eh! Ada suratlah.” Bisik Yana ketika membuka peti surat yang tersangkut di pintu pagar rumahnya. Sampul surat bertulis URUSAN SERI PADUKA BAGINDA itu dibawanya masuk ke dalam rumah. Surat yang dialamatkan kepadanya itu lantas dibuka.

“Alhamdulillah!” Jeritnya perlahan sambil meraup muka dengan tapak tangan. Wajahnya kelihatan cukup gembira dengan berita yang diperolehinya itu. Memang Yana teringin sangat hendak mengikuti program tersebut setelah mendengar cerita dari kawan-kawannya yang pernah melaluinya. Yana tersenyum-senyum sendiri. Lagaknya seperti seorang kekasih yang sedang angau.

“Kenapa kamu tersenyum sorang-sorang ni Yana?” Tegur Puan Nora dari pintu rumah. Wajah Yana berubah merah. Dia terasa malu apabila ditegur begitu oleh ibunya.

“Mak dari mana ni? Dah lama ke mak berdiri kat situ?” Soal Yana tersipu-sipu. Puan Nora yang sedang memandangnya tersenyum.
“Baru lagi. Mak dari rumah Tok Cik kamu tadi.” Jawab Puan Nora sambil masuk dan duduk di atas sofa berbunga biru yang kelihatan masih baru itu. Diselaknya langsir berbunga sedondon yang tergantung


Ada lagi.....

Saturday, May 23, 2009

Penunggu Tasik

Malam kian larut. Bayu dingin berhembus menyegarkan. Air tasik yang tenang berkilau disinar panahan cahaya rembulan yang kelihatan seolah tergantung di dada langit. Hujung joran pancing yang dipacakkan di pinggir tasik sesekali bergetar lembut. Mungkin itu tanda umpan sedang dijamah ikan yang lalu atau mungkin juga dilanggar arus air di dasar tasik yang tak setenang di permukaannya.

Di tebing tasik kelihatan dua susuk tubuh sedang duduk bersebelahan unggun api yang nyalaannya malu-malu seperti gadis sunti kampung sedang dirisik bakal mertua. Sesekali terdengar bunyi desingan nyamuk yang diikuti bunyi tamparan yang entah mengenai sasaran ataupun tidak. Unggas rimba bersahutan melagukan irama alam tak ubah seperti sebuah orkestra yang mengiringi nyanyian penyanyi terkenal di Istana Budaya.

Kepulan asap rokok dihembus dari rongga mulut sang pemancing yang setia menunggu umpannya diragut mangsa. Berligar-ligar seketika di udara dan kemudian hilang dibawa angin yang berlalu. Bagi sang pemancing, rokok merupakan teman setia. Berguna sebagai ubat menghilangkan bosan menunggu rezeki untuk dibawa pulang tersangkut di mata kail.

“Dah dua jam kita kat sini Man. Seekor ikan pun kita tak dapat lagi ni. Jangankan direntap, disentuh pun tidak umpan kita.” Khairul bersuara perlahan memecah keheningan malam yang kian merangkak ke pagi.

“Sabarlah. Mana tahu kejap lagi ikan besar.........

Friday, May 22, 2009

Talapia Bakar Air Asam

Cuaca petang yang damai, angin meniup lembut dedaunan pohon renek yang tumbuh merimbun di pinggir lombong yang terbiar. Airnya yang tenang kebiruan hasil reflek langit yang membiru menggamit jiwa pemancing yang datang. Bagi Amir sekeluarga, kalau terasa ingin makan daging ikan air tawar, ke lombong tinggal inilah tempat tujuannya. Sudah bertahun Amir memancing di sini, tidak pernah sekalipun Amir mengalami sesuatu perkara yang pelik.
Tengahari tadi, Yazid, anak kesayangan Amir menyatakan lagi hasratnya hendak makan ikan talapia bakar bercicahkan air asam. Sudah beberapa kali juga hasratnya itu sampai ke pengetahuan Amir tapi belum juga dia berkesempatan menunaikannya. Bebanan kerja yang dipikulnya sejak akhir-akhir ini membataskan kesempatannya bersama keluarga.
“Ayah, Zid nak makan talapia bakar. Cicah dengan air asam. Ermmmm... sedapnya ayah.” Amir memandang anak kesayangannya yang sedang menggayakan aksi seperti sedang makan makanan yang sangat enak. Amir tersenyum melihat keletah anaknya itu. Selama ini tak pernah dia menghampakan permintaan Yazid, tak pernah sekalipun dia manyatakan tidak kepada anaknya itu. Seboleh-bolehnya dia cuba memenuhi segala kemahuan satu-satunya anak tunggalnya itu walau sesukar mana sekalipun. Itulah satu-satunya anak yang dilahirkan setelah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga dengan Munirah, isteri yang dicintainya.
“Maafkan ayah ye Zid. Dah lama Zid minta nak makan talapia bakar tu tapi ayah tak tunaikan permintaan Zid. Ayah sibuk sangat. Tapi tak apa. Hari ni ayah bawa Zid pergi memancing. Kalau ada rezeki Zid, dapatlah kita makan talapia bakar malam ni.” Yazid yang tekun mendengar kata-kata ayahnya itu tersengih kegembiraan.
“Yeah! Ayah nak bawa Yazid memancing. Mak! Mak! Ayah nak bawa Yazid memancing.” Yazid bersorak kegembiraan sambil berlari-lari anak ke arah ibunya. Munirah yang sedang asyik menonton berita di television lantas berpaling. Seketika dipandangnya anak tunggalnya yang sedang bersorak kegembiraan lalu tersenyum.“Abang nak bawa anak kita mancing di mana bang?” Munirah melontarkan soalan sambil memandang.......



satu lagi koleksi yang akan dimuatkan dalam kompilasi yang akan hadir menjengah pasaran......

Wednesday, May 20, 2009

Pencuri Suruhan

"Bang! Abang ada ambil duit Yah tak? Kedengaran suara Mak Yah bertanya kepada suaminya. Sejak balik dari kedai tadi Mak Yah tertanya-tanya ke mana perginya sebahagian dari duit dua ratus ringgit pemberian anaknya yang disimpan di dalam dompetnya.
"Di mana awak simpan?" Ringkas saja Pak Din menjawab soalan Mak Yah.
"Di dalam dompet saya ni ha! Semalam Amin beri saya sebelum dia balik ke Kuala Lumpur. Dua ratus ringgit semuanya bang. Tadi waktu saya nak membayar di Kedai Eton, saya tengok duit dalam dompet saya cuma ada seratus ringgit je. Mana perginya lagi seratus ringgit?" Ulas Mak Yah panjang lebar.
"Awak dah cari betul-betul serata tempat? Manalah tau kalau-kalau terselit di celah-celah lipatan baju tu." Kata Pak Din."Dah bang. Dah puas saya cari, dalam bilik, kat dapur, dalam bilik air, semua tempat saya dah cari tapi tak jumpa pun." Ada nada sedih dalam suara Mak Yah. Duit seratus ringgit bagi orang kampung seperti Mak Yah memang besar nilainya. Lagikan pula ia.....


Akan datang.....

Saturday, May 16, 2009

Berkhemah Di Jeram Libu

Sejak bulan lepas Khaled telah membuat rancangan bersama kawan-kawannya. Mereka hendak pergi berkhemah di Jeram Libu sempena musim cuti sekolah. Mereka bercadang hendak berkhemah selama seminggu di situ. Khaled diberi tugas menguruskan berkenaan permit berkhemah dan juga untuk memberitahu pihak polis akan tujuan dan tempoh mereka di sana.
“Led, minggu depan perkhemahan kita. Engkau jangan lupa laporkan tentang pemergian kita kepada pihak polis. Dapatkan juga permit berkhemah dari pihak berwajib di sana. Nanti kalau apa-apa berlaku, mudah bagi mereka mengesan kita.” Tegas Aiman selaku ketua kumpulan. Sememangnya perlu bagi sesiapa yang hendak melakukan aktiviti sebegitu untuk memohon permit dan memberitahu pihak polis terlebih dahulu sebelum meneruskan rancangan mereka. Namun kebanyakan yang berlaku kini seolah tidak mementingkan keselamatan diri sendiri. Mereka yang hendak berkhemah atau mendaki gunung, tidak memohon permit atau melaporkan kepada pihak polis. Kemudian apabila berlaku sesuatu terhadap mereka, pihak polis juga yang akan dihubungi untuk membantu mereka.
“Ah! Aku minta maaf Man. Aku terlupa nak beritahu engkau. Kelmarin aku dah pergi mendapatkan kebenaran berkhemah. Laporan polis......

Akan berada di pasaran....

Thursday, May 14, 2009

Misteri Rumah Kosong

Walaupun sudah mendirikan rumahtangga, namun Fatimah masih terus menetap bersama ibunya yang telah uzur di kampung. Suaminya, Syamsul, ikut tinggal bersamanya di rumah tersebut. Syamsul hanya mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber pendapatan.
Selepas ibunya meninggal dunia, Fatimah dan Syamsul telah berhijrah ke bandar untuk memulakan perniagaan makanan. Mereka menyewa rumah di sebuah kawasan setinggan. Berkat usaha mereka yang gigih, perniagaan mereka semakin maju, dari membuka gerai di bawah pokok akhirnya mereka berjaya membeli satu unit kedai. Mereka juga telah tidak tinggal menyewa lagi sebaliknya membeli sebuah rumah teres dua tingkat yang terletak di pinggir bandar.
Kawasan perumahan yang dihuni oleh mereka merupakan sebuah kawasan baru. Walaupun semua rumah di sana telah mempunyai pemilik, namun kebanyakannya masih belum berpenghuni. Semenjak menduduki rumah tersebut, mereka hanya berada di rumah pada waktu malam kerana sibuk menguruskan restoran mereka pada sebelah siang.
Suatu hari Fatimah berasa kurang sihat, badannya sakit-sakit dan hilang selera makan. Suaminya tidak membenarkan Fatimah pergi ke restoran. Selepas membawa Fatimah ke klinik untuk mendapatkan rawatan, Syamsul menghantar Fatimah pulang ke rumah untuk berehat.
“Hari ni awak tak payah ke restoran. Awak berehat saja kat rumah. Biar abang sorang yang uruskan kat sana.” Perintah suaminya apabila Fatimah menyuarakan hasrat hendak mengikut Syamsul ke kedai mereka.
“Ala! Saya tak apa-apa bang. Lepas makan ubat nanti saya oklah bang.” Pujuk Fatimah. Fatimah sebenarnya tidak mahu tinggal sendirian di rumah. Dia takut kalau perompak memecah masuk ke rumah ketika dia sedang berada di rumah, dia takut.....

Bakal menemui anda...... tak lama lagi.

Wednesday, May 13, 2009

Bidan Melah

Sudah lebih lima tahun Tahir, anak Bidan Melah mendirikan rumahtangga dengan pilihan hatinya, Salbiah. Salbiah adalah anak bongsu Haji Kudus, pesara polis yang menetap di hujung kampung. Semenjak berkahwin, mereka tinggal bersama Haji Kudus. Bidan Melah tiada halangan apabila Tahir menyuarakan hasratnya untuk tinggal bersama Haji Kudus setelah anaknya itu berkahwin.
Setelah bersara dari polis pada awal tahun tujuh puluhan, Haji Kudus berpindah balik ke kampung asalnya itu. Di kampung, Haji Kudus membela beberapa ekor ayam untuk mengisi masa lapang selain daripada untuk dijadikan hidangan apabila tiba hari perayaan. Besannya Bidan Melah pula sudah berpuluh tahun menjadi bidan di kampung itu, mengambil alih tugas tersebut daripada arwah ibunya. Walaupun pihak kerajaan telah mendirikan sebuah klinik desa di kampung tersebut serta menyediakan seorang jururawat terlatih di sana, namun kebanyakan penduduk kampung masih lagi gemar mendapatkan khidmat Bidan Melah
Bidan Melah mewarisi kepandaian ilmu berbidan daripada arwah ibunya, Bidan Gayah yang sangat terkenal di kalangan penduduk kampung semasa hayatnya. Jika ada penduduk kampung yang memerlukan khidmatnya, walau di waktu tengah malam atau subuh sekalipun, Bidan Gayah tidak pernah menolak. Begitulah juga dengan Bidan Melah, walaupun dipanggil......

Bakal muncul.....

Jangan ambil adik punya!

Sudah lebih seminggu Amin berjanji dengan kawan baiknya Raju hendak ke parit dalam ladang kelapa sawit. Kata orang terdapat banyak jenis anak ikan di dalam parit tersebut. Amin memang suka membela ikan. Amin bercadang hendak menangkap seberapa banyak jenis anak ikan yang ada untuk diletakkan di dalam akuarium di rumah Amin. Ibu dan ayah Amin sudah memberi keizinan kepada Amin. Pagi tadi sewaktu Amin berjumpa Raju di kedai, Raju telah membatalkan rancangannya untuk mengikut Amin.
“Amin, saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak dapat mengikut awak ke parit di ladang kelapa sawit tu. Nenek saya meninggal dunia malam tadi. Kami sekeluarga hendak balik ke kampung menghadiri majlis pengkebumian nenek saya tu.” Kata Raju sewaktu Amin berjumpanya di kedai pagi tadi. Amin faham situasi yang dihadapi oleh Raju. Biasanya jika tiada hal kecemasan yang berlaku, Raju tak pernah memungkiri janjinya dengan Amin.Selepas minum petang, Amin mula menyediakan kelengkapan untuk menangkap anak ikan. Semua keperluan tersebut dimasukkan ke dalam beg galasnya. Selepas memberitahu ibunya, lebih kurang jam lima petang, Amin pun memulakan perjalanannya. Ladang kelapa sawit itu terletak tidak jauh dari kawasan kampung tetapi Amin tidak pernah pergi ke sana. “Mujurlah hari ini tidak hujan. Kalau tidak tentu jalan ke sana menjadi becak.” Bisik Amin di dalam hatinya. Walaupun Amin tidak pernah ke sana tapi Amin tahu juga serba sedikit struktur tanah di dalam ladang kelapa sawit.

Bakal berada di pasaran.... insyaallah

Tuesday, May 12, 2009

Umairah

Semasa di sekolah menengah, setiap hari Umairah akan berulang alik ke sekolah menaiki bas sekolah menggunakan pas bulanan. Setiap jam enam pagi Umairah akan melintasi rumah Makcik Kiah untuk menunggu bas. Umairah suka menaiki bas paling awal kerana terdapat banyak tempat duduk kosong. Sekolah Umairah agak jauh, kalau terpaksa berdiri hingga sampai ke sekolah memang terasa letih. Ketika balik dari sekolah, bas yang Umairah naiki hanya akan menurunkan penumpang sehingga di simpang sahaja. Setiap hari Umairah terpaksa berjalan kaki dari simpang untuk balik ke rumah.
Setiap kali balik dari sekolah, Umairah tidak akan mengikuti jalan seperti yang dilaluinya di waktu pagi sebaliknya akan melintasi kedai Maniam, melalui kawasan belakang rumah arwah Pak Latif dan terus melintasi kawasan rumah Haji Ramli untuk sampai ke jalanraya.
Umairah suka menggunakan laluan tersebut kerana agak redup dan tidak berapa jauh untuk berjalan. Setiap hari apabila melalui jalan tersebut, Umairah akan dapat melihat Tok Ngah duduk mencangkung di tepi reban ayam yang terletak di belakang rumah Haji Ramli. Tok Ngah yang merupakan bapa kepada Haji Ramli memang telah lama tinggal bersama Haji Ramli di rumah tersebut. Tok Ngah yang telah berumur hampir sembilan puluh tahun masih kelihatan sihat dan cergas.

Dapatkan sambungannya...... akan datang.....

Amboi! Cantiknya dia...

“Sin! Malam ni ada joget lambak kat kampung sebelah. Ada orang buat kenduri kahwin.” Kata Kamal sambil menepuk bahu Husin. Husin yang sedang minum di warung Haji Dollah itu merasa sedikit terkejut. Dia lalu memusingkan badan memandang kepada orang yang menepuk bahunya tadi.
“Oh! Engkau Mal. Aku ingatkan sapa tadi.” Rasa terkejutnya terus hilang sebaik terpandang wajah kawan karibnya itu. Husin dan Kamal telah berkawan semenjak mereka kecil lagi. Di mana ada Kamal di situlah juga Husin berada. Apa sahaja aktiviti mereka lakukan bersama. Orang kampung menggelarkan mereka ‘kembar siam’ kerana mereka sentiasa berdua.
“Joget lambak kat kampung sebelah? Rumah sape kenduri Mal?” Soal Husin lagi. Memang sudah menjadi kelaziman di kampung mereka mahupun di kampung sekitarnya untuk mengadakan joget lambak setiap kali majlis perkahwinan dilangsungkan. Ia bertujuan untuk memberikan hiburan kepada penduduk kampung yang bertungkus-lumus membantu tuan rumah melakukan kerja-kerja dari memasang khemah, memasak sehinggalah kerja-kerja pembersihan. Biasanya joget lambak akan diadakan dari petang hingga ke lewat malam.

Nak baca lagi....? Boleh dapatkan kompilasi cerita-cerita mistik ini yang bakal berada di pasaran.