Semua karya di sini telah disatukan di bawah satu blog. Untuk membaca sambungan karya yang telah sedia ada di sini, sila klik ke http://adrinmalina.blogspot.com
Saturday, March 6, 2010
Friday, February 26, 2010
Luka 2
Fatiha tekun menghadap skrin komputer di hadapannya sambil sesekali matanya menjeling ke arah bilik ketuanya itu. Jemarinya pantas menaip surat-surat yang diarahkan oleh ketuanya petang tadi. Pergerakan jarinya terhenti seketika apabila telinganya menangkap bunyi pintu terbuka. Pantas pandangan matanya dilarikan ke arah pintu bilik Encik Amri. Kelihatan ketuanya itu telah siap sedia menggalas beg laptop di bahu kanannya dan tangan kirinya memegang sebuah fail. Fatiha melemparkan senyum ketika pandangannya bertautan dengan ketuanya itu. Encik Amri turut tersenyum sambil melangkah ke arahnya.
“Tiha, saya nak balik ni. Fail ni saya bawa balik semak dekat rumah. Awak pula nak balik pukul berapa ni?” Fatiha mengangkat muka memandang ke arah jejaka yang sedang berdiri di sisi mejanya.
“Sekejap lagi Encik Amri. Ada satu surat lagi belum siap.” Balasnya sedikit gugup apabila pandangan mata ketuanya itu memanah tajam ke arah wajahnya. Merona merah wajahnya kerana keseganan.
“Oh! Kalau begitu saya pergi dululah. Jangan lupa kunci pintu nanti.” Encik Amri sempat menitip pesan sebelum berlalu meninggalkan Fatiha sendirian menghabiskan tugasannya.
“Baik Encik Amri.” Fatiha melemparkan senyum mengiringi langkah ketuanya itu. Encik Amri terus tersenyum walaupun dia tahu senyumannya itu tidak dapat dilihat oleh Fatiha, gadis yang telah mendapat tempat teratas di dalam hatinya semenjak kali pertama terpandang gadis itu.
“Assalamualaikum.” Salam yang dihulur dibalas Fatiha dengan suara yang perlahan. Matanya masih menuruti langkah ketuanya itu sehingga jejaka itu hilang dari pandangannya.
Posted by hamba_allah at 22:44 0 comments
Wednesday, February 24, 2010
Luka 1
Kemesraan dua manusia yang sangat disayangi dan dipercayainya menyebabkan airmatanya menitis. Sungguh dia tidak menyangka, seorang sahabat yang sudah dianggap seperti adik sendiri sanggup memadu kasih dengan kekasih sahabat sendiri. Sungguh tidak dia menyangka kekasih yang pernah berjanji sehidup semati tergamak mengkhianati janjinya sendiri.
Tidak sanggup dia terus menunggu dan membiarkan matanya menyaksikan kejutan yang benar-benar membunuh semangatnya lantas kaki terus dihayun pergi meninggalkan kedua insan tersayang asyik berbahagia di atas kelukaannya.
Kakinya terus melangkah tanpa arah tujuan dan akhirnya setelah kepenatan, punggung dilabuhkan di atas bangku batu di pinggir kolam. Matanya terus menyoroti ketenangan yang terbentang di hadapannya.
“Andai aku tahu apa yang akan terjadi di masa depan, pasti aku tidak akan menyerahkan seluruh cintaku kepada lelaki yang tidak tahu menghargainya.” Terluah kekesalan dari seulas bibirnya yang pucat. Air jernih di pinggir mata yang cuba ditahan sedari tadi akhirnya mengalir juga membasahi pipi. Terhenjut-henjut sekujur tubuh itu menangis sendirian.
“Ehem!” Bunyi deheman yang tiba-tiba memecah kesunyian sedikit memeranjatkannya lantas muka yang ditekup di pehanya diangkat perlahan. Wajah didongakkan untuk melihat gerangan empunya suara. Airmata yang telah berhenti menitis tertumpah kembali tatkala empunya suara menghulurkan sehelai saputangan kepadanya.
“Sudahlah Tiha. Janganlah bersedih. Tak guna kau menitiskan airmata kerana seorang lelaki yang tak tahu menghargai sebuah cinta yang tulus yang telah kau berikan. Tentu ada hikmah di sebalik kejadian ini. Redhakanlah.” Taufiq melabuhkan punggung di sisi Fatiha. Wajah Fatiha yang murung direnung penuh kasih. Sayangnya terhadap Fatiha masih utuh terpahat dalam hati namun dia terpaksa menyimpan rasa itu sendiri demi kerana persahabatannya dengan Fatiha.
“Entahlah Fiq. Aku tak tahu apa nak buat sekarang. Aku sungguh tak sangka sahabat baik aku sanggup buat aku macam ni. Sanggup Sahana menikam aku dari belakang. Apa salah aku Fiq? Apa dosa aku?” Bertalu-talu soalan terhambur dari bibirnya. Taufiq masih terus menatap wajah itu. Membuak-buak rasa kasihan apabila melihat mata Fatiha yang masih bersisa manik-manik air jernih memandang tajam ke arah tengah kolam. Renungan yang seolah tembus jauh ke dasar kolam.
“Kau tak salah Tiha. Mereka yang tak tahu nak menghormati perasaan orang lain.Biarkan ajelah mereka. Aku percaya satu hari nanti mereka akan dapat balasan atas perbuatan mereka tu.” Taufiq menyeka airmata di pipi Fatiha. Langsung tiada bantahan dari gadis itu. Mungkin fikirannya tiada di situ waktu itu. Menerawang entah ke mana.
“Tolong aku Fiq. Tolong aku buangkan ingatan aku ni. Aku tak nak hidup aku dihantui perbuatan diorang.” Taufiq terkejut apabila Fatiha tiba-tiba sahaja berpaling kepadanya lalu tangan gadis itu menggoncang tubuhnya. Airmata terus melimpah laju dari kolam mata gadis itu.
“Insyaallah Tiha, insyaallah. Aku akan sentiasa ada di sisi kau selagi kau memerlukan aku.” Tangan kecil gadis itu yang masih berada di bahunya digapai lalu terus digenggam erat seolah tidak akan dilepaskan lagi. Namun dia sedar itu tak mungkin terjadi di antara mereka. Perlahan-lahan jemari halus itu dilepaskan.
“Kenapa kau baik sangat dengan aku Fiq sedangkan dulu aku pernah kecewakan kau?” Penuh rasa bersalah Fatiha menuturkan soalan. Wajah Taufiq yang tidak beriak dipandang sayu. Dia tahu perasaan lelaki itu terhadapnya namun dia tidak boleh menerima cinta Taufiq. Dia tidak mahu persahabatan yang bertukar kepada percintaan akan lenyap bila cinta itu terputus di tengah jalan. Dia tidak sanggup kehilangan seorang sahabat seperti Taufiq yang begitu sempurna.
“Sebab aku sayang kau Tiha. Kau kan sahabat aku.” Ringkas jawapan Taufiq mematahkan persoalan yang berligar di fikiran Fatiha. Sedikit-sebanyak dia merasa gembira kerana lelaki itu masih menyayanginya sebagai seorang sahabat.
Posted by hamba_allah at 10:03 0 comments
Thursday, January 28, 2010
Ketandusan Entry Baru
Tadi idea untuk citer ni tak ada tapi idea terbit untuk cerpen 'Luka' so aku taip sikit ler cerpen tu. Tu pun tak siap lagi. Mata dah semakin mengantuk, idea pun semakin slow. Nanti kalau ada idea lagi aku tambah.
Novel motivasi, tajuk cadangan Di Sini Kasihnya Tertumpah sedang dalam proses menconteng isi. Kerana Tanah Itu baru siap satu mukasurat dan aku tak tahu nak jadikan ia novel ataupun cerpen sahaja. Ada beberapa tajuk lagi yang sedang dalam proses menconteng isi.
Doakan aku diberi limpahan idea.
Posted by hamba_allah at 04:19 0 comments
Wednesday, January 13, 2010
Cerita
Beberapa cerita sedang dalam proses mencontengkan isi.
Doakan aku dapat menghuraikan isi-isi yang ada sehingga menjadi sebuah cerita yang menarik.
Posted by hamba_allah at 09:19 0 comments
Wednesday, November 25, 2009
Idea
Sapa ada idea tolong bagi aku...... Huhu
Aku perlu duit nak melunaskan yuran semester depan. Aku ni tak dapat pinjaman PTPTN. Belajar aku guna duit sendiri.
Aku diminta menulis novel motivasi untuk remaja. Itu adalah cara aku diberi pendapatan tambahan. yang menjadi masalahnya sekarang, idea aku kontang.
Agak-agak datang tak idea kalau aku seru cenggini...
Oh! Idea.... Datanglah.... Datanglah... Hehehehe
p/s: projek cerita misteriku pun terbengkalai. projek cerita kanak-kanak siri peribahasa pun tertangguh. kali ni projek novel motivasi remaja pulak. harap-haraplah imaginasi aku kembali semula macam biasa. huhu
Posted by hamba_allah at 10:27 0 comments
Thursday, October 15, 2009
Rancangan Tergendala Sebentar
Sorry banyak-banyak pada yang sudi membaca coretan tak seberapa di blog penulisan saya ni.
Streamyx di rumah dah kena suspend seketika dan idea juga tak dapat dijana buat masa ini. Oleh itu, penulisan terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Posted by hamba_allah at 09:56 0 comments
Tuesday, September 8, 2009
Akhirnya.......Cinta Itu Part 6
“Jemput minum Datuk.” Pelawa Mak Esah sambil tangannya mencapai pinggan yang sedia terletak di atas meja dan tanpa berlengah bihun goreng di dalam mangkuk dicedokkan ke dalam pinggan tersebut. Sebiji telur goreng diletakkan di atas bihun tersebut. Pinggan berisi bihun itu lantas dihidangkan di hadapan Datuk Affendi.
“Jemput makan Datuk. Hari ni Mak Esah gorengkan bihun putih aje.” Sekali lagi terdengar pelawaan dari mulut Mak Esah.
“Terima kasih Mak Esah.” Tanpa berlengah Datuk Affendi menyuapkan bihun ke dalam mulut. Suasana di meja makan menjadi sunyi tanpa sebarang perbualan di antara kedua beranak itu. Hanya kedengaran bunyi sudu dan garfu yang berlaga dengan pinggan sahaja mengisi ruang. Mak Esah menghilangkan diri ke dapur untuk menyudahkan kerja-kerjanya yang belum selesai.
“Pa.” Seru Qhashifa Zuniqa. Datuk Affendi yang sedang menikmati hidangan di hadapannya terhenti menyuap. Pandangan ditala ke wajah anak gadis kesayangannya.
“Apa dia sayang?” Qhashifa Zuniqa tersenyum mendengar suara lembut Datuk Affendi yang penuh kasih-sayang.
“Jadi ke majlis kesyukuran hujung minggu nanti pa?” Persoalan yang berligar di fikirannya diluahkan. Kalau jadi, banyak perkara yang perlu dilakukan. Kalau tak jadi, senang nak atur rancangan lain memenuhi masa hujung minggu nanti.
“Jadilah sayang. Kenapa? Shifa ada hal lain ke hari tu nanti?” Wajah anak gadis kesayangannya ditatap.
“Takde la pa. Kalau jadi, senanglah Shifa nak cari baju yang sesuai untuk majlis tu nanti.” Otaknya ligat membayangkan pakaian yang ingin dipakai pada hari itu nanti.
“Anak papa nak nampak cantik depan Fiq sekeluarga ye?” Senyuman paling manis dihadiahkan pada anak gadisnya.
“Papa ni.” Merona merah wajah Qhashifa Zuniqa mendengar pertanyaan yang berbaur usikan dari Datuk Affendi.
“Shifa dah siap makan ke? Kalau dah, jomlah kita ke office sekarang. Lambat-lambat sangat nanti, sesak pulak jalan.” Datuk Affendi bangun meninggalkan meja makan. Langkah diatur menuju ke kereta yang siap menunggu. Pak Omar, pemandu Datuk Affendi telah sedia berdiri di muka pintu. Beg bimbit Datuk Affendi diambil dari Mak Esah lalu diletakkan di dalam kereta. Pintu belakang kereta lalu dibuka untuk mempersilakan Datuk Affendi masuk. Datuk Affendi berdiri di sisi kereta sementara menunggu Qhashifa Zuniqa yang sedang melangkah ke arahnya.
“Hari ni Shifa drive sendiri ye pa. Petang nanti, lepas office Shifa nak singgah mall kejap. Nak cari baju.” Dipandangnya wajah Datuk Affendi dengan muka bersalah kerana telah membuatkan Datuk Affendi menunggu. Sungguh Qhashifa terlupa nak beritahu Datuk Affendi awal-awal akan rancangannya.
“Nak cari baju ke atau nak jumpa Fiq?” Sengaja Datuk Affendi mengusik anak gadisnya yang menunjukkan riak wajah bersalah untuk memulihkan keadaan.
“Papa! Shifa nak cari baju la. Bukan nak jumpa dia.” Merona merah wajah Qhashifa Zuniqa diusik Datuk Affendi. Hilang rasa bersalahnya seketika tadi.
“Ala, kalau betul jumpa dia pun apa salahnya. Boleh juga kenal-kenal lebih rapat. Cepat sikit papa terima menantu.” Datuk Affendi masih lagi dalam mood mengusik. Terlupa dia seketika akan kelewatannya.
“Papa ni, sampai ke situ pulak fikirnya. Lambat lagi la papa. Dia tu entah-entah dah ada girlfriend.” Jauh di sudut hatinya, Qhashifa Zuniqa berharap Syazril Zulfiqar masih belum mempunyai teman wanita.
“Kalau takde girlfriend, bolehlah ye dia jadi menantu papa?” Tersipu-sipu Qhashifa Zuniqa diusik Datuk Affendi.
“Jomlah pa, dah lambat ni.” Tangan Datuk Affendi lantas dicapai dan dibawa ke wajahnya. Belakang tangan Datuk Affendi lantas dicium. Satu kucupan di dahi dihadiahkan oleh Datuk Affendi kepada anak gadis kesayangannya itu.
“Pandailah dia nak mengelak.” Datuk Affendi tersenyum. Diperhatikan Qhashifa Zuniqa memboloskan diri ke dalam kereta yang dihadiahkannya dulu.
“Pergi dulu pa. Jumpa kat office nanti.” Qhashifa Zuniqa melambaikan tangan sebaik keretanya bergerak perlahan meninggalkan porch.
“Drive careful sayang. Jangan berangan sambil memandu.” Pesanan dilaungkan buat puteri kesayangan. Senyuman terukir di bibir Datuk Affendi. Mak Esah dan Pak Omar sedari tadi hanya tersenyum melihat gelagat kedua beranak itu.
“Ye pa. Assalamualaikum.” Sempat lagi Qhashifa Zuniqa memberi salam.
“Waalaikumsalam.” Datuk Affendi memboloskan diri ke dalam kereta. Pak Omar menutup pintu dan terus bergerak ke bahagian pemandu. Kereta bergerak perlahan meninggalkan porch dan bergerak laju di atas jalanraya bersaing dengan kenderaan-kenderaan lain meredah kesesakan yang mula ketara.
Posted by hamba_allah at 15:06 0 comments
Wednesday, August 19, 2009
Akhirnya...... Cinta Itu Part 5
“Kenapa tiba-tiba aje uncle Fendi Fiq jemput kita datang rumah?” Riak wajah Puan Maryam kelihatan kehairanan.
“Ma, uncle Fendi nak buat majlis doa selamat untuk anak gadis kesayangannya. Kalau ma nak tahu, Shifa tu anak uncle Fendi.” Puan Maryam memandang tepat ke wajah anak terunanya dengan wajah sedikit terkejut.
“Iye ke Fiq? Mana Fiq tahu?”
“Tadi masa Fiq pergi pejabat uncle Fendi, Shifa pun ada sekali.”
“Fiq, betulkan apa yang mama pernah kata sebelum ni. Mungkin Shifa tu jodoh Fiq.” Ucap Puan Maryam sambil bibirnya mengukir senyum. Syazril Zulfiqar turut tersenyum malu mendengar kata-katanya ibunya sebentar tadi.
“Nanti papa Fiq balik, mama nak ajak pergi merisik Shifa. Ma nak jadikan dia menantu mama.”
“Ma, tak payahlah buat macam tu. Biar Fiq cuba rapat dengan Shifa dulu. Kalau ada jodoh Fiq dengan Shifa, adalah ma.”
“Kalau dah macam tu cakap Fiq, mama tak boleh nak kata apalah.” Puan Maryam bangun dari sofa dan berlalu ke biliknya. Terbayang rasa terkilan di wajahnya.
Syazril Zulfiqar turut bangun dan berlalu naik ke biliknya. Selepas mandi dan solat, dia berbaring di atas katilnya. Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja dicapai dan nombor Qhashifa Zuniqa didail. Semenjak mengenali Qhashifa Zuniqa, hanya nombor gadis itu sahaja kini yang ada di dalam fikirannya. Setelah menunggu seketika, terdengar suara di hujung talian.
“Hello!”
“Hello Shifa. Dah nak tidur ke?”
“Fiq! Saya belum ngantuk lagilah awak.”
“Dah lewat ni, kenapa tak mengantuk lagi? Tengah buat apa tu?”
“Hurm… Entahlah, tak tau kenapa mata ni tak rasa mengantuk. Saya ingat nak baca novel ni sikit sementara tunggu mata rasa ngantuk.”
“Oh! Ok.”
Suasana sepi seketika. Yang kedengaran hanyalah desah nafas keduanya di dalam talian.
“Kenapa awak call saya ni?” Qhashifa Zuniqa meneruskan perbualan yang terhenti.
“Hurm… Shifa, Fiq nak ajak Shifa keluar esok boleh?”
“Esok saya kerja la Fiq.”
“Kita lunch sama?”
“Fiq, office awak dekat KLCC, office saya dekat Damansara. Macam mana kita nak lunch sama?”
“Tak apa, awak tunggu aje saya kat office awak esok. Tepat pukul satu saya sampai.”
“Ok! Kalau pukul satu awak tak sampai, saya pergi makan sendiri. Deal?”
“Ok, deal!”
“Kalau macam tu, esok ajelah kita sambung bersembang. Selamat malam.”
“Selamat malam sayang.”
Mendengarkan ayat terakhir Syazril Zulfiqar, membuatkan hati Qhashifa Zuniqa berdebar-debar. Jantungnya berdegup kencang. Bukan dia tak pernah mendengar ucapan sayang dari mulut lelaki, tapi kenapa ucapan dari Syazril Zulfiqar membuatkan hatinya berdebar. Sewaktu di London dulu, ramai yang cuba mendekatinya. Ramai yang memanggilnya sayang tapi kenapa tiada apa-apa perasaan yang berlainan apabila ucapan sayang itu singgah di telinganya. Kenapa ungkapan sayang dari lelaki ini bisa meruntun jiwanya. Bisa membuat dia tak ketentuan. Hilang keinginannya untuk meneruskan pembacaan novel yang sedang dipegangnya lantas novel itu diletakkan semula di atas meja sisi yang terletak di tepi katilnya.
Sebaik meletakkan novel tersebut, jemari runcing Qhashifa Zuniqa pantas mencapai segelas air yang telah diletakkan di atas meja sisi tersebut ketika dia memasuki bilik tidurnya itu tadi. Memang sudah menjadi kebiasaan bagi gadis itu untuk menyediakan segelas air suam di sisi katilnya sebagai pelepas dahaga sekiranya terjaga di tengah malam mahupun awal pagi.
Usai melepaskan dahaga, Qhashifa Zuniqa berbaring di atas tilam dengan menyilangkan tangan di atas dahi. Suatu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Fikirannya menerawang memikirkan kata-kata Syazril Zulfiqar sebentar tadi. Penat berfikir, Qhashifa Zuniqa cuba melelapkan matanya dengan harapan dia boleh melupakan kata-kata yang mengasak fikirannya. Puas dia mencuba namun matanya yang terpejam tidak mahu lena. Tubuhnya dikalih, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan dan entah bila masa dia terlena, dia sendiri tidak menyedarinya.
Manakala di sebelah sana, bibir Syazril Zulfiqar menguntum senyuman lebar. Hatinya terlalu gembira apabila pelawaannya mendapat jawapan yang diharap-harapkan. Sungguh hatinya telah terpikat kepada gadis itu. Terlalu istimewa gadis itu di pandangan matanya. “Fiq janji akan menyayangi Shifa selamanya. Hanya Shifa sahaja yang layak memiliki hati Fiq dan menjadi suri hati Fiq.” Lafaz janji ditebarkan di dalam hatinya walaupun gadis itu baru seketika dikenalinya kerana dia tahu dan dia dapat merasakan bahawa gadis itu memang tercipta untuknya. Dengan perlahan mata dipejam dengan harapan lenanya didatangi mimpi indah bersama gadisnya. Seketika kemudian lena bertandang.
Posted by hamba_allah at 11:06 0 comments
Tuesday, July 21, 2009
Akhirnya..... Cinta Itu Part 4
Usai memohon doa, Qhashifa Zuniqa mencapai pakaian yang telah siap digosok di dalam almari. Sehelai seluar slack berwarna hitam dan sehelai blouse berwarna biru muda disarungkan ke tubuhnya yang tinggi lampai. Rambutnya yang panjang mengurai disisir kemas. Wajahnya yang sedia putih gebu dan bibir yang merah basah tidak ditambah sebarang alat solek. Beg tangan berwarna hitam disandang di bahu. Setelah berpuashati dengan penampilannya, Qhashifa Zuniqa menutup suis lampu dan alat pendingin lalu menutup pintu bilik. Kaki diatur perlahan turun ke tingkat bawah.
Dikerlingnya jam yang melekap di pergelangan tangannya. Jarum pendek menunjuk ke angka lapan. Jarum panjang pula menunjuk ke angka dua belas. Sebaik ternampak kelibatnya di tangga, Mak Esah yang telah siap menghidangkan juadah sarapan pagi memanggilnya bersarapan.
"Shifa dah siap ye? Marilah sarapan dulu. Mak Esah buatkan nasi lemak pagi ni.” Sapa Mak Esah sambil tangannya ligat menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan. Pinggan berisi nasi lemak itu lalu diletakkan di hadapan Qhashifa Zuniqa. Cawan beralas yang berada di tepi pinggan diambil lalu air milo yang masih panas di dalam teko dituang ke dalam cawan itu sehingga penuh. Cawan yang sudah berisi diletakkan semula di atas piring alasnya.
“Hmmm… Sedapnya bau.” Qhashifa Zuniqa menarik kerusi lalu duduk. Air milo yang masih berasap dihembus sedikit lalu dihirup perlahan. Nasi lemak disuapkan ke mulut dan dikunyah perlahan.
“Dah lama Shifa tak makan nasi lemak buatan Mak Esah. Sedap.” Ucapnya sambil tersenyum. Mak Esah yang berdiri di hadapannya turut tersenyum mendengar pujian dari anak majikannya yang telah dianggap seperti anak sendiri itu.
“Mak Esah tak makan sama?” Soal Qhashifa Zuniqa.
“Shifa makanlah dulu. Nanti Mak Esah lapar, Mak Esah makan.” Balas Mak Esah sambil tersenyum. Memang pemurah dengan senyuman Mak Esah ni bila berhadapan dengan Qhashifa Zuniqa yang sentiasa tersenyum dan sangat menghormati orang yang lebih tua tanpa mengira kedudukan.
Seketika kemudian, Datuk Affendi turun ke tingkat bawah. Mak Esah menuangkan air milo ke dalam cawan dan menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan sebaik terpandang Datuk Affendi yang sedang menuruni anak tangga.
“Jemput makan Datuk.” Pelawa Mak Esah. Datuk Affendi mengatur langkah menuju ke meja makan. Akhbar yang sedia terletak di atas meja diselak satu persatu helaiannya. Setelah berita-berita penting diketahui, nasi lemak mula disuapkan ke mulut. Air milo yang hampir suam dihirup.
“Shifa dah siap ke? Jomlah.” Datuk Affendi bangun dari kerusi lalu menuju ke kereta yang sudah siap menunggu di dalam porch. Mak Esah datang menghantarkan beg bimbit Datuk Affendi yang diambilnya dari dalam bilik bacaan. Kedua beranak itu masuk ke dalam kereta Mercedes yang dipandu Pak Kadir. Kereta lalu keluar dari porch dan meluncur laju di atas jalanraya.
Di dalam kereta tiada sebarang perbualan yang berlaku di antara kedua beranak itu sebaik Mercedes hitam itu berada di atas jalanraya. Qhashifa Zuniqa hanya melayan perasaan. Walaupun bekerja di pejabat kepunyaan papanya, Qhashifa Zuniqa tetap merasa gementar. Tidak tahu bagaimana penerimaan para pekerja nanti. Adakah dia akan mendapat kerjasama dari para pekerja ataupun dibenci oleh mereka. Lagipun inilah kali pertama dia bekerja setelah tamat belajar.
“Shifa kenapa?” Soal Datuk Affendi bila dilihatnya anak gadisnya itu seolah melamun jauh.
“Shifa risaulah pa.” Balas Qhashifa Zuniqa.
“Apa yang nak dirisaukan?” Soal Datuk Affendi lagi.
“Shifa risau fikirkan penerimaan para pekerja nanti. Diorang boleh beri kerjasama ataupun diorang benci Shifa.”
“Sayang, diorang tak akan benci Shifa kalau Shifa buat diorang seperti biasa. Walaupun Shifa anak bos, Shifa buat seperti Shifa pun pekerja macam diorang. Papa percaya diorang semua pasti akan menghormati Shifa dan beri kerjasama sepenuhnya pada anak papa ni.” Datuk Affendi tersenyum. Senyuman itu dibalas oleh Qhashifa Zuniqa. Hatinya terasa sedikit lega mendengarkan kata-kata yang terbit dari mulut papanya sebentar tadi.
Kereta yang dipandu Pak Kadir memasuki perkarangan bangunan pejabat Datuk Affendi. Pintu dibuka dan turunlah kedua penumpangnya. Qhashifa Zuniqa berjalan beriringan dengan Datuk Affendi. Sempat lagi dia menjawab ucapan selamat pagi yang dilontarkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas. Kedua beranak itu menuju ke arah lif. Di hadapan pintu lif terdapat beberapa orang pekerja Datuk Affendi yang baru sampai. Mereka mengucapkan selamat pagi kepada Datuk Affendi. Sambil itu sempat juga mereka menjeling kepada gadis manis yang sentiasa tersenyum yang beriringan dengan Datuk Affendi. Lif terbuka dan kedua beranak itu masuk ke dalam lif sama seperti pekerja-pekerja yang lain. Butang dua belas ditekan.
Sebaik lif sampai ke tingkat dua belas, Datuk Affendi keluar diiringi oleh Qhashifa Zuniqa. Kedua mereka masuk ke dalam bilik Datuk Affendi. Setelah meletakkan beg bimbitnya, Datuk Affendi menekan butang interkom di atas mejanya.
“Julia, masuk bilik saya sekejap.”
“Baik Datuk.” Terdengar suara setiausaha Datuk Affendi menjawab di hujung talian. Seketika terdengar ketukan di pintu bilik Datuk Affendi.
“Masuk.”
“Selamat pagi Datuk.” Sapa Julia. Dia tersenyum kepada Qhashifa Zuniqa. Senyuman dibalas.
“Julia, inform semua ketua jabatan. Saya nak adakan mesyuarat pukul sepuluh nanti.” Arah Datuk Affendi.
“Boleh saya tahu mesyuarat berkenaan apa Datuk?” Soal Julia perlahan.
“Ni anak saya yang baru balik dari London, Qhashifa Zuniqa. Anak saya akan menggantikan tempat Mansor.” Terang Datuk Affendi.
“Oh! Ini Qhashifa Zuniqa. Saya ingatkan siapa tadi. Selamat datang Cik Qhashifa Zuniqa.” Ucap Julia sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan gadis manis itu.
“Panggil saya Shifa saja Kak Julia.” Tutur Qhashifa Zuniqa lembut.
“Baiklah Shifa. Ada apa-apa lagi Datuk?” Soal Julia. Buku catatan yang sentiasa dibawa bersamanya ditutup selepas butir-butir yang penting dicatatkan di dalamnya.
“Itu saja. Awak boleh keluar dulu Julia. Terima kasih.” Balas Datuk Affendi.
“Sama-sama Datuk.” Julia berpaling lalu keluar dari bilik Datuk Affendi.
Sebaik Julia sampai di mejanya, dua tiga orang pekerja Datuk Affendi menerpa ke arahnya. Mereka cuba mengorek siapakah gadis manis yang berada di dalam bilik Datuk Affendi.
“Siapa perempuan cantik yang ikut Datuk tadi Julia?” Soal Hafiz.
“Iyelah Julia, siapa tu? Cantik sungguh.” Sampuk Yaser sambil tersenyum.
“Korang jangan cuba-cuba kacau awek tu. Anak kesayangan Datuk tu. Karang tak pasal-pasal korang hilang kerja pulak.” Jawab Julia.
“Ish! Cantik betul anak dara Datuk ni. Tak pernah nampak datang sini.” Jawab Yaser.
“Dia baru balik dari London. Dia akan gantikan tempat Encik Mansor.” Terang Julia.
“Oh! Untung kan jadi anak Datuk, habis belajar tak payah susah-susah cari kerja, kerja dah sedia menunggu. Masuk kerja aje dah jadik manager.” Sampuk Hafiz. Julia hanya tersenyum mendengar kata-kata mereka.
“Sudahlah, pergilah buat kerja korang. Aku nak aturkan mesyuarat Datuk ni.” Kedua-dua jejaka itu kembali ke meja masing-masing dan meneruskan kerja-kerja yang belum disiapkan.
Jam sembilan lima puluh minit pagi Qhashifa Zuniqa mengikut Datuk Affendi masuk ke dalam bilik mesyuarat. Sewaktu pintu dibuka, bilik mesyuarat telah dipenuhi oleh semua ketua jabatan. Qhashifa Zuniqa mengambil tempat kosong di sisi Datuk Affendi.
“Selamat pagi semua. Saya percaya kamu semua telah tahu sebab utama mesyuarat ini diadakan.” Semua yang ada menganggukkan kepala. Mereka memandang ke arah Datuk dan seketika ke arah Qhashifa Zuniqa.
“Saya kenalkan anak saya, Qhashifa Zuniqa yang akan menggantikan tempat Mansor sebagai pengurus jabatan kewangan.” Tutur Datuk Affendi. Qhashifa Zuniqa bangun lantas mengenalkan dirinya kepada semua ketua jabatan yang ada. Kesopanan yang ditunjukkannya memikat hati. Ramai yang tidak berkelip mata ketika memandangnya berucap.
“Ehem…” Mendengarkan deheman Datuk Affendi, mereka kembali ke alam nyata. Datuk Affendi hanya tersenyum. Semua ketua jabatan mengenalkan diri masing-masing. Satu jam kemudian mesyuarat itu ditamatkan. Mereka semua kembali ke bilik masing-masing. Datuk Affendi menghantar anak gadisnya ke bilik Encik Mansor yang kini telah menjadi milik Qhashifa Zuniqa.
“Ini bilik sayang. Kalau ada apa-apa yang Shifa tak faham, Shifa boleh rujuk pada pembantu Shifa kat luar tu.” Tutur Datuk Affendi sambil menunjukkan ke arah meja yang terdapat di luar pintu bilik Qhashifa Zuniqa. Kelihatan di situ seorang gadis yang bertudung sedang mengadap komputer.
“Baik pa.” Jawab Qhashifa Zuniqa.
“Papa balik bilik papa dulu. Nanti kalau papa free, papa datang jenguk anak papa ni ye.” Datuk Affendi mengatur langkah keluar dari bilik Qhashifa Zuniqa. Sampai di hadapan meja pembantu Qhashifa Zuniqa, Datuk Affendi berhenti seketika. Kelihatan Datuk Affendi berkata sesuatu kepada gadis itu dan gadis itu mengangguk sambil memandang sekilas dan tersenyum kepada Qhashifa Zuniqa.
“Datuk, wakil dari Syarikat Teras Maju menunggu di dalam bilik Datuk. Sepatutnya Datuk ada mesyuarat dengan wakil mereka jam sebelas pagi ni.” Terang Julia sejurus Datuk Affendi sampai di meja Julia.
“Oh! Saya terlupa. Julia, panggilkan Shifa ke mari. Kita bermesyuarat dalam bilik saya ajelah. Buatkan air ye.” Pesan Datuk Affendi sebelum masuk ke dalam biliknya.
“Baiklah Datuk.” Julia segera mendail nombor sambungan bilik Qhashifa Zuniqa. Tak sampai lima minit kemudian, Qhashifa Zuniqa sampai di bilik Datuk Affendi. Pintu bilik diketuk dan Qhashifa Zuniqa masuk ke dalam bilik itu. Sebaik terpandang wakil dari Syarikat Teras Maju, Qhashifa Zuniqa dan lelaki yang berada di hadapan Datuk Affendi kelihatan sama-sama terkejut.
“Fiq?” Jerit Qhashifa Zuniqa.
“Awak?” Kedengaran suara Syazril Zulfiqar. Datuk Affendi hanya memandang Syazril Zulfiqar dan kemudian memandang anak gadisnya.
“Kamu berdua ni kenal ke?” Soal Datuk Affendi.
“Papa, inilah Syazril Zulfiqar yang melanggar pintu kereta Shifa pagi semalam.” Terang Qhashifa Zuniqa.
"Oh! Inilah orangnya yang buat anak papa tersenyum sorang-sorang ye?” Mendengarkan kata-kata Datuk Affendi, Syazril Zulfiqar mengerutkan keningnya dan seketika kemudian turut tersenyum. Datuk Affendi juga turut tertawa kecil apabila melihatkan wajah anak gadisnya yang berubah kemerahan.
“Papa! Mana adalah.” Merona merah wajah putih Qhashifa Zuniqa diusik Datuk Affendi. Rasa malu bertambah menyerbu dalam dirinya apabila terpandang bibir Syazril Zulfiqar yang mengukir senyuman.
“Fiq, papa kamu bila balik dari oversea?” Soal Datuk Affendi setelah tawanya reda.
“Insyaallah hujung minggu ni uncle.” Jawab Syazril Zulfiqar.
“Papa dengan Fiq ni dah kenal lama ke?” Soal Qhashifa Zuniqa.
“Shifa, papa Fiq ni kawan lama dan rakan bisnes papa. Kalau papa Fiq ke luar negara, Fiq yang uruskan syarikat papanya tu.” Terang Datuk Affendi. Qhashifa Zuniqa hanya tersenyum sambil mengangguk.
Terdengar ketukan di pintu bilik Datuk Affendi. Pintu terbuka dan Julia masuk membawakan air minuman. Mesyuarat diteruskan sehingga persetujuan antara keduanya tercapai.
Posted by hamba_allah at 11:08 0 comments
Tuesday, June 30, 2009
Akhirnya..... Cinta Itu part 3
“Ma, Fiq pun tak tahu. Dari tadi Fiq asyik teringatkan Shifa aje.”
“Kalau Fiq asyik teringatkan dia, Fiq telefonlah dia.” Puan Maryam memberikan cadangan.
“Petang tadi Fiq dah call dia ma, Fiq dah berterus-terang dengan dia yang Fiq sukakan dia tapi dia macam tak terima Fiq aje.” Syazril Zulfiqar memandang wajah Puan Maryam tanpa senyum. Terbayang kesedihan dalam matanya.
“Fiq baru call sekali. Cubalah call lagi. Mana tahu bila Fiq call lagi, hati Shifa terbuka terima Fiq. Perempuan ni sikap diorang berbeza-beza. Ada yang mudah terima orang, ada yang susah. Kalau Fiq betul-betul suka, Fiq usahalah sampai Shifa terima cinta Fiq. Selebihnya bergantung pada jodoh.” Puan Maryam tersenyum sambil memberikan nasihat.
“Fiq, mama pun sebenarnya sukakan Shifa. Kalau Fiq nak jadikan Shifa menantu mama, bahagianya hidup mama.”
“Mama janganlah cakap macam tu. Fiq takut tak mampu bahagiakan mama.”
“Fiq, mama tahu anak mama ni mampu. Janganlah mudah putus asa.” Kata-kata yang diucapkan oleh Puan Maryam menjadi suntikan semangat kepada Syazril Zulfiqar. Jauh di sudut hatinya berjanji akan berusaha memiliki cinta seorang gadis bernama Qhashifa Zuniqa. Bibirnya mengukir senyum.
“Ma, Fiq naik tidur dulu. Esok Fiq nak kerja.” Syazril Zulfiqar mengangkat punggung dari sofa. Alat kawalan jauh tv dicapai lalu butang merah ditekan pantas dan alat kawalan itu diletakkan semula di atas meja.
“Esok kan doktor dah bagi Fiq cuti sakit lagi. Kenapa nak pergi kerja pulak?”
“Ma, esok Fiq ada mesyuarat dengan uncle Fendi. Dia tu client besar syarikat kita. Fiq tak bolehlah buat sambil lewa saja perbincangan kita dengan dia walaupun dia tu kawan lama papa.”
“Kalaulah papa Fiq dah balik dari luar negara, mama percaya dia akan handle perkara ni.” Ucap Puan Maryam perlahan.
“Mama rindukan papa ye?” Syazril Zulfiqar memberikan senyuman nakal.
“Dahlah. Fiq pergi naik tidur. Esok nak bangun awal. Mama pun dah nak masuk tidur ni.” Puan Maryam bangun dan meninggalkan anak teruna kesayangannya di situ.
Syazril Zulfiqar bergerak dari sofa ke tepi dinding yang menempatkan suis lampu lalu menutup semua lampu yang masih menyala. Ditinggalkan satu sahaja lampu yang menyinari ruangan tangga untuk memudahkan pergerakan. Langkah dihayun mendaki tangga menuju ke biliknya. Di dalam bilik dia berbaring di atas katil. Pandangan diarahkan ke syiling. Terbayang wajah Qhashifa Zuniqa sedang tersenyum di situ. Dipalingkan wajahnya ke arah tingkap, ternampak wajah manis itu di situ sedang memandangnya.
“Argh! Apa kena dengan aku ni? Aku angau ke?” Syazril Zulfiqar menjerit di dalam hati. Tanpa sedar tangannya mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja sisi. Nombor Qhashifa Zuniqa didail. Telefon dilekapkan ke telinga. Terdengar lagu dendangan kumpulan Slam, Jika Kau Rasa Getarnya, menjadi nada dering di telefon bimbit gadis kesayangannya.
“Jika kau rasa getarnya, debaran hati cinta yang meronta, nilai kasihku padamu, cukup berharga.” Syazril Zulfiqar bermonolog di dalam hati. Sekilas dijelingnya jam yang berada di atas meja sisi.
“Baru pukul sepuluh malam. Kenapa lambat sangat tuan puteri ni nak jawab telefon. Dah tidur ke agaknya?” Syazril Zulfiqar meneka-neka di dalam hati. Tak senang rasanya dia tidak dapat mendengar suara gadis yang berjaya mencuri hatinya itu.
“Hello!” Hati Syazril Zulfiqar berbunga riang mendengar suara lunak yang dirinduinya itu.
“Hello awak. Buat apa tu?” Lembut kata-kata yang dilontarkan oleh Syazril Zulfiqar untuk gadis yang telah berjaya mencuri hatinya itu.
“Tengah baring-baring ni Fiq. Nak tidur, esok nak mula kerja.”
“Oh! Dah dapat kerja ye? Tahniah. Nanti bolehlah Fiq belanja Shifa.”
“Terima kasih Fiq. Shifa dapat kerja biasa je. Hurm… Kaki Fiq dah ok ke?”
“Alhamdulillah. Esok Fiq dah masuk office dah.”
"Kan MC sampai esok. Kenapa cepat sangat nak pergi office? Ada girlfriend kat office ye?” Terdengar tawa halus Qhashifa Zuniqa di hujung talian.
“Ish! Mana ada girlfriendlah awak. Saya baru je nak ngorat awak ni nak jadikan girlfriend.”
“Ada-ada jelah awak ni Fiq. Oklah, saya nak tidur dulu. Assalamualaikum.”
“Shifa, tunggulah sekejap.”
“Ada apa lagi awak?”
“Kenapa awak cepat je nak putuskan talian bila saya nyatakan perasaan saya pada awak? Kenapa awak semacam nak mengelak?” Soal Syazril Zulfiqar. Ada rasa tidak puas hati dalam nada percakapannya.
“Ish! Mana ada mengelaklah awak. Saya cuma mengantuk aje.” Qhashifa Zuniqa membuat dalih. Memang dia sebolehnya mahu mengelak bila Syazril Zulfiqar menyatakan perasaannya. Masih terlalu awal untuk menyulam rasa cinta dengan lelaki yang baru dikenalinya itu walaupun hatinya seringkali berdebar bila teringatkan Syazril Zulfiqar.
“Kalau begitu tak apalah awak. Nanti saya call awak lagi. Sleep tight.”
“Baik. Assalamualaikum, selamat malam.”
“Waalaikumsalam. Selamat malam awak.”
Telefon diletakkan di atas meja sisi. Mata dipejamkan. Terbayang wajah Qhashifa Zuniqa. Fikirannya menerawang lagi mengingat kejadian pagi tadi. Bibirnya mengukir senyum. Sungguh cantik gadis itu. Sungguh bersopan. Terlalu jauh beza dengan Camelia mahupun Natasha. Pakaian yang simple. Wajah yang bersih tanpa mekap tebal seinci seperti Camelia.Kecantikan yang dimiliki gadis itu sememangnya asli. Mata coklatnya yang bundar, kelihatan berkaca. Kulit yang putih gebu merona merah bila merasa malu. Bibir mungil yang sentiasa kelihatan basah. Rambut panjang mengurai. Memang manis. Sempurna. Tetapi kenapa sukar sangat untuk gadis itu memahami isi hati seorang lelaki bernama Syazril Zulfiqar. Tanpa sedar, Syazril Zulfiqar terlena bersama bayangan wajah manis itu.
Di atas katilnya, Qhashifa Zuniqa merenung telefon bimbitnya yang telah dimatikan taliannya tadi. Teringat semula perbualannya dengan Syazril Zulfiqar sebentar tadi. Betulkah lelaki setampan itu tidak punyai teman wanita? Seriuskah lelaki itu mengucapkan kata-katanya tadi? Terbayang wajah lelaki itu di ruang matanya. Tampan. Mata coklatnya bercahaya. Bibir yang merah, mungkin tidak dicemari asap rokok. Senyuman yang memikat. Mustahil tiada seorang gadispun yang terpikat dengan wajah setampan itu. Qhashifa Zuniqa memejamkan mata, cuba untuk melupakan lelaki yang telah mula mengisi hatinya itu.
Datuk Affendi menyusun langkahnya ke bilik. Langkahnya terhenti ketika melalui bilik anak gadis kesayangannya. Melalui pintu yang terbuka, kelihatan Qhashifa Zuniqa yang sudah lena di atas katil. Datuk Affendi masuk perlahan-lahan ke dalam bilik anak gadisnya itu. Telefon bimbit di dalam genggaman Qhashifa Zuniqa ditarik perlahan lalu diletakkan di atas meja Selimut ditarik meliputi sebahagian tubuh anak gadisnya itu. Perlahan Datuk Affendi meninggalkan bilik anaknya. Sebelum menutup pintu, tangannya sempat mencapai suis lampu yang berada di tepi dinding. Kelam.
Posted by hamba_allah at 19:26 0 comments
Akhirnya..... Cinta Itu part 2
“Julia, ada anak saya datang ke sini tadi?” Soal Datuk Affendi sebaik setiausahanya itu menjengah di muka pintu biliknya.
“Datuk, tadi Cik Shifa ada call. Katanya tak dapat nak lunch dengan Datuk hari ni.” Julia, setiausaha Datuk Affendi menyampaikan pesanan yang diberi oleh Qhashifa Zuniqa tadi.
“Ada dia beritahu sebabnya?” Soal Datuk Affendi lagi. Tak pernah anak kesayangannya itu membatalkan janji yang telah dibuat dengannya.
“Katanya ada hal sikit Datuk. Nak hantar orang yang langgar keretanya balik rumah.” Terang Julia.
“Shifa kemalangan? Bila? Dekat mana? Kenapa tak beritahu saya?” Wajah Datuk Affendi kelihatan cemas.
“Cik Shifa tak apa-apa Datuk. Tadi waktu dia melawat warung Mak Mah, penunggang motosikal langgar pintu keretanya. Dia dah hantar orang tu ke pusat rawatan, kemudian dia hantar orang tu balik ke rumah.” Terang Julia lagi. Wajah Datuk Affendi berubah tenang. Hilang sedikit kerisauan yang melanda hatinya tadi.
“Takpelah Julia. Awak batalkan semua temujanji dan mesyuarat saya petang ni. Saya nak balik awal.” Pinta Datuk Affendi.
“Baiklah Datuk. Datuk nak balik sekarang ke? Saya panggilkan Pak Kadir.”
“Ye. Saya turun sekarang.” Datuk Affendi mendail nombor telefon anak kesayangannya.
“Saya keluar dulu Datuk.” Julia lantas keluar dari bilik Datuk Affendi lalu menutup pintu bilik itu.
“Sayang papa dekat mana tu?” Soal Datuk Affendi sebaik panggilannya dijawab oleh Qhashifa Zuniqa.
“Baik. Papa balik sekarang. Papa tunggu Syifa dekat rumah. Waalaikumsalam.” Pangilan dimatikan dan Datuk Affendi mengorak langkah meninggalkan bilik pejabatnya. Ketika sampai di lobi bangunan pejabat, Pak Kadir, pemandu Datuk Affendi telah siap sedia menunggu.
“Awal Datuk balik hari ni?” Soal Pak Kadir kehairanan. Tadi sewaktu Julia meminta dia menunggu Datuk di lobi tidak pula dinyatakan sebabnya Datuk Affendi ingin balik awal.
“Shifa kemalangan tadi. Ada orang langgar pintu keretanya Saya nak tunggu dia di rumah.” Terang Datuk Affendi.
“Macam mana dengan Cik Shifa, Datuk?” Pak Kadir sedikit terkejut.
“Shifa ok, Kadir. Orang tu yang cedera. Shifa dah hantar orang tu dapatkan rawatan dan sekarang Shifa hantar orang tu balik.”
“Alhamdulillah.” Pak Kadir mengucap syukur kepada Allah. Kalau terjadi apa-apa, kasihan pula kepada Datuk Affendi. Itu sahaja satu-satunya anak Datuk Affendi hasil perkongsian hidupnya dengan arwah Datin Laila yang sangat baik dan disenangi oleh semua pekerja. Datuk Affendi memang sangat mencintai arwah isterinya itu. Kalau tidak masakan Datuk Affendi sanggup hidup bersendirian membesarkan Qhashifa Zuniqa setelah isterinya itu menghembuskan nafas terakhir.
“Datuk, kita dah sampai. Ada apa-apa lagi yang Datuk nak saya buat?” Pak Kadir memberhentikan kenderaan di dalam porch. Pintu belakang dibuka dan Pak Kadir membawakan beg Datuk ke dalam rumah.
“Takde Kadir. Awak bolehlah berehat. Esok hantarkan saya ke pejabat macam biasa.” Datuk Affendi melabuhkan punggung di atas sofa bercorak batik yang terletak di ruang tamu. Pembantu rumah yang agak terkejut melihat kepulangan Datuk Affendi membawakan segelas air suam kepadanya. Beg yang berisi dokumen yang dibawa oleh Datuk Affendi dihantar ke dalam bilik bacaan. Setelah meletakkan beg itu di atas meja, pembantu rumah itu keluar semula ke ruang tamu.
“Datuk nak makan? Kalau nak, boleh saya siapkan sekarang.” Mak Esah, pembantu rumah yang juga isteri Pak Kadir bertanya kepada Datuk Affendi apabila dilihatnya Datuk Affendi hanya duduk di sofa semenjak pulang dari pejabat.
“Boleh juga Esah. Saya pun belum makan lagi ni. Masaklah yang simple-simple aje ye.” Jawab Datuk Affendi lemah.
“Baiklah Datuk, selepas saya siap, saya beritahu Datuk.” Balas Mak Esah sambil berlalu ke dapur. Seketika terdengar bunyi sudip berlaga dan bunyi tumisan masakan.
Datuk Affendi bangun dari sofa dan mengatur langkah ke biliknya. Selepas selesai mandi dan bersolat, Datuk Affendi turun ke bawah.
“Datuk, jemput makan.” Mak Esah memanggil Datuk Affendi untuk menjamu selera sebaik ternampak majikannya itu turun dari bilik.
“Shifa tak sampai lagi ke Esah?” Soal Datuk Affendi apabila kelibat anaknya itu tidak kelihatan di matanya.
“Belum lagi Datuk.” Jawab Mak Esah sambil tangannya sibuk menyendukkan nasi ke dalam pinggan.
“Tak apalah Esah. Kamu dah makan? Kalau belum, marilah makan. Ajak Kadir sekali.” Pelawa Datuk Affendi.
“Tak apalah Datuk. Datuk makanlah dulu. Nanti kemudian saya makan. Kadir pun tengah mandi tu.” Balas Mak Esah. Segan pula rasanya Mak Esah hendak makan semeja dengan majikannya itu.
Selesai menjamu selera, kedengaran bunyi kereta memasuki porch. Datuk Affendi segera meninggalkan meja makan dan menuju ke arah pintu. Sebaik sampai di pintu, matanya tertancap pada wajah anak gadisnya yang sedang tersenyum sambil mengunci pintu kereta.
“Dah balikpun anak papa.” Sapa Datuk Affendi.
“Papa pun. Awal papa balik?” Balas Qhashifa Zuniqa sambil bersalam dan mencium tangan Datuk Affendi.
Kedua beranak itu berjalan beriringan ke ruang tamu dan duduk di sofa. Qhashifa Zuniqa duduk di sisi Datuk Affendi sambil tangannya memaut erat lengan papanya. Dibibir mungilnya masih terukir senyuman yang manis.
“Anak papa ni kenapa? Dari balik tadi papa tengok asyik tersenyum je.” Datuk Affendi meluahkan rasa hairannya.
“Tak… Takde apa-apa pa.” Wajah Qhashifa Zuniqa merona merah. Segera dia berpaling menyembunyikan wajahnya yang diserang rasa malu.
“Nak kongsi apa yang telah terjadi tadi?” Soal Datuk Affendi. Dia tahu pasti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh anak gadisnya itu.
“Hurm.. Salah Shifa tadi pa. Shifa tak berhati-hati. Nasib baik Fiq tak apa-apa.”
“Siapa sayang? Fiq?” Sekali lagi wajah Qhashifa Zuniqa merona merah.
“Maksud Shifa, lelaki yang langgar pintu kereta Shifa tadi. Nama dia Syazril Zulfiqar.”
“Oh! Fiq ye?” Datuk Affendi tersenyum.
“Papa ni kan, saja je tau. Shifa naik dululah. Nak mandi.” Qhashifa Zuniqa meninggalkan Datuk Affendi yang tersenyum-senyum melihat perubahan sikap anaknya itu.
Datuk Affendi bersandar di atas sofa sehingga masuk waktu asar. Sebaik mendengar laungan azan, segera Datuk Affendi naik ke bilik untuk menunaikan solat asar. Itulah kelebihan yang dimiliki oleh Datuk Affendi. Walau sesibuk manapun dia, tuntutan agama supaya mendirikan solat tetap menjadi keutamaannya.
Ketika melalui bilik Qhashifa Zuniqa, sempat juga Datuk Affendi menjengah ke dalam bilik anak gadisnya itu melalui pintu yang terbuka. Kelihatan Qhashifa Zuniqa sedang berbaring di atas katil. Pandangannya terarah kepada syiling. Wajahnya kelihatan seperti seorang yang sedang mengelamun.
“Ehem!” Sengaja Datuk Affendi berdehem. Kelam-kabut Qhashifa Zuniqa bangun dari pembaringan.
“Ye, ada apa papa?” Sapanya apabila terpandang wajah Datuk Affendi di muka pintu bilikya sedang tersenyum.
“Anak papa berangan ye?” Qhashifa Zuniqa berpaling menyembunyikan wajahnya. Terasa malu ditegur sebegitu.
“Mana ada berangan pa.” Datuk Affendi hanya tersenyum.
“Kalau tak berangan, kenapa senyum sendiri. Dah tu pandang syiling macam nak tembus. Hurm… Anak papa dilamun cinta ye?” Serkap Datuk Affendi.
“Mana ada pa. Siapalah yang hendakkan anak papa yang buruk ni.” Kata-kata Qhashifa Zuniqa membuatkan ketawa Datuk Affendi meletus.
“Hahahaha! Anak papa buruk ye? Kalau macam tu Fiq jenis yang suka orang buruklah agaknya.” Qhashifa Zuniqa mencebik mendengar kata-kata Datuk Affendi.
“Papa! Shifa dengan Fiq tu mana ada apa-apa. Kami baru je kenal tadi.” Qhashifa Zuniqa mempertahankan dirinya.
“Yelah tu. Baru kenal tadi tapi dah macam orang gila bayang. Anak papa dah jatuh cinta ni.” Datuk Affendi terus-terusan mengusik anak gadisnya.
“Papa! Tak suka tau.” Qhashifa Zuniqa menarik muka masam.
“Ala.. Nak merajuklah tu. Nanti papa suruh Fiq pujuk ye. Tapi sebelum tu pergi solat dulu. Dah masuk waktu ni.” Arah Datuk Affendi dengan tawa yang masih bersisa.
“Baik papa.” Qhashifa Zuniqa berlalu ke bilik air untuk mengambil wuduq sebaik Datuk Affendi meninggalkan biliknya.
Usai menunaikan solat, Qhashifa Zuniqa bermalas-malasan di atas katilnya. Novel di atas meja sisi katilnya dicapai. Dibuka muka surat lapan puluh satu yang belum habis dibaca. Sebaik menghabiskan muka surat tersebut, telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja berdering. Qhashifa Zuniqa mencapai telefonnya. Tanpa memandang skrin telefon bimbitnya, butang hijau ditekan.
“Hello!” Qhashifa Zuniqa menyapa pemanggil yang menelefonnya.
“Hello awak. Ingat Fiq lagi?” Terdengar suara lelaki di talian. Qhashifa Zuniqa terdiam.
“Hello awak. Awak ada tak ni?” Syazril Zulfiqar terus menyapa.
“Ye… ye.. Hello! Saya ada ni.” Jawapan Qhashifa Zuniqa kedengaran di talian.
“Awak buat apa tu? Fiq ganggu ke?”
“Tak ada lah. Saya tengah berehat je kat dalam bilik ni. Malas nak turun ke bawah.”
“Shifa, boleh Fiq tanya awak sikit?”
“Tanyalah, kalau saya ada jawapannya, saya akan jawab.”
“Awak marah ke Fiq telefon awak ni? Manalah tahu kalau-kalau awak tengah tunggu teman lelaki awak telefon.”
“Kalau saya marah tak adalah saya jawab panggilan awak ni.”
“Awak tak tunggu pangilan dari teman lelaki awak?”
“Fiq, orang macam saya ni siapalah yang nak jadikan teman wanita.” Jawapan yang diberikan oleh Qhashifa Zuniqa membuatkan hati Syazril Zulfiqar berbunga.
“Shifa, kalau Fiq nak jumpa awak boleh tak?”
“Ada apa nak jumpa saya?”
“Sebenarnya Fiq dah jatuh suka pada awak.” Sikap terus-terang Syazril Zulfiqar membuatkan Qhashifa Zuniqa terkejut.
“Fiq, awak baru aje kenal saya. Itupun secara tak sengaja. Awak tak kenal saya lagi. Janganlah mudah jatuh suka pada saya. Saya ni tak ada apa-apa kelebihan pun.”
“Shifa, sebab baru kenallah Fiq nak jumpa awak lagi. Fiq nak mengenali diri awak sepenuhnya. Orang kata, tak kenal maka tak cinta.”
“Oklah Fiq, saya minta diri dulu. Papa dah panggil tu. Nanti kita sembang lagi ye. Bye.” Talian dimatikan tanpa sempat Syazril Zulfiqar menjawab. Dia yakin alasan yang diberi menyebabkan Syazril Zulfiqar percaya. Dia tersenyum.
Qhashifa Zuniqa berkalih, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Fikirannya sarat memikirkan kata-kata Syazril Zulfiqar sebentar tadi. Dadanya berdebar apabila terbayang wajah Syazril Zulfiqar. Kejadian pagi tadi bertamu kembali di ruang matanya.
“Kenapa aku ni? Aku dah jatuh cinta ke?” Gumamnya sendiri. Dipejamkan matanya. Dia cuba untuk menghilangkan bayangan wajah Syazril Zulfiqar yang bertandang di ruangan matanya. Akhirnya Qhashifa Zuniqa terlena.
Datuk Affendi menjengah ke bilik anak gadisnya ketika hendak turun ke ruang tamu. Terpandang olehnya anak gadisnya yang telah terlena sambil tangannya masih erat memegang telefon bimbit. Datuk Affendi tersenyum.
“I think my only daughter has falling in love. Who’s the lucky guy? I can’t wait to see him.” Kata-kata Datuk Affendi hanya bergema di dalam hatinya.
“Datuk, jemput minum petang.” Pelawa Mak Esah yang sedang menuang air kopi ke dalam cawan sebaik sahaja Datuk Affendi turun dari tangga.
Langkah diatur perlahan menuju ke meja makan. Sekeping kuih karipap yang dibuat oleh pembantu rumahnya itu dikunyah perlahan. Sambil makan Datuk Affendi berfikir-fikir.
“Datuk nak saya panggilkan Cik Shifa temankan Datuk minum petang?” Tanya Mak Esah sambil mula mengatur langkah ke tangga.
“Tak payahlah Esah. Shifa tengah tidur tu. Biarlah saya biasakan diri minum petang sendiri. Nanti kalau Shifa dah kawin, tak adalah saya rasa kekok.” Sedih sahaja suara yang dilontarkan oleh Datuk Affendi.
“Kalau begitu, Datuk minumlah ye. Saya ke belakang sekejap.” Mak Esah meninggalkan Datuk Affendi sendirian menikmati juadah minum petang. Seribu pertanyaan menyerbu ruang fikirannya.
Usai minum petang, Datuk Affendi menghilangkan diri ke dalam bilik bacaan. Dia menyemak dokumen yang dibawa pulang tengahari tadi. Beberapa kertas kerja yang diserahkan kepadanya oleh Julia selepas mesyuarat pagi tadi ditelitinya. Beberapa dokumen yang memerlukan tandatangannya disemak. Setelah berpuashati, tandatangan diturunkan. Dokumen yang telah ditandatangani tersebut dimasukkan semula ke dalam beg bimbitnya.
Datuk Affendi meninggalkan bilik bacaan setelah azan maghrib berkumandang. Dia naik ke bilik untuk menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah. Ketika melalui bilik Qhashifa Zuniqa, kelihatan gadis itu sedang enak tidur. Perlahan Datuk Afendi masuk ke bilik anak gadisnya itu. Digoncangnya perlahan bahu anak kesayangannya itu.
“Sayang, bangun. Dah masuk waktu maghrib ni. Pergi mandi, kemudian solat. Nanti lepas solat isyak, kita makan malam bersama. Ada sesuatu yang papa nak cakapkan lepas makan malam nanti. Dah, bangun ye.”
“Baik papa.” Qhashifa Zuniqa bangun sambil menggosok matanya.
Datuk Affendi meninggalkan bilik anak gadisnya itu. Qhashifa Zuniqa lantas mencapai tuala yang tersangkut di tempat tuala lalu masuk ke bilik air. Seketika terdengar air mencurah dari dalam bilik air. Selesai mandi dan mengambil wuduq, Qhashifa Zuniqa menunaikan solat maghrib. Sementara menunggu masuk waktu isyak, Qhashifa Zuniqa membaca surah yasin dan disedekahkan kepada arwah ibunya.
Selepas menunaikan solat isyak, Qhashifa Zuniqa turun ke dapur untuk makan malam. Sebaik terpandang wajah Mak Esah, Qhashifa Zuniqa terus memberi salam. Ditawarkannya pertolongan untuk membantu menghidangkan makanan namun dengan lembut Mak Esah menolak.
Usai makan malam, Datuk Affendi memanggil Qhashifa Zuniqa duduk di sisinya di ruang tamu. Qhashifa Zuniqa yang sememangnya seorang anak yang mendengar kata langsung tidak bertanya sebabnya. Dalam fikirannya terfikir mungkin papanya ingin menghabiskan masa dengannya.
“Shifa, papa ada hal sikit nak cakap dengan Shifa ni. Come, duduk dekat papa.” Qhashifa Zuniqa mengambil tempat di sisi Datuk Affendi sambil tangannya memaut erat lengan papanya itu. Kepalanya dilentokkan di bahu papanya.
“Ada apa pa?” Lembut pertanyaan yang dilontarkan dari mulutnya.
“Shifa, esok ikut papa pergi pejabat ye. Shifa dah habis study kan. So papa nak Shifa kerja dengan papa ye. Kebetulan pengurus jabatan kewangan dah ditransfer ke cawangan kita di Johor Bahru. Biliknya papa dah suruh pembantunya kemaskan. Nanti Shifa duduk bilik tu. Kalau Shifa tak suka, nanti kita renovate bilik tu mengikut citarasa Shifa.”
“Esok ye pa? So, nanti Shifa pergi sekali dengan papa ataupun Shifa pergi sendiri?”
“Sayang, tentulah Shifa pergi dengan papa. Nanti-nanti kalau Shifa nak pergi sendiri, papa tak kisah. Tapi untuk permulaan, Shifa pergi dengan papa.”
“Baik pa. Hurm… Kalau macam tu, Shifa naik tidur dululah pa. Esok nak bangun awal. Selamat malam pa.” Qhashifa Zuniqa bangun lalu diciumnya pipi Datuk Affendi sebelum berlalu ke biliknya.
Posted by hamba_allah at 13:19 0 comments
Monday, June 29, 2009
Akhirnya..... Cinta Itu part 1
“Morning! Macam mana anak papa malam tadi? Tidur lena?” Datuk Affendi memandang sekilas ke arah anak kesayangannya yang baru semalam pulang dari luar negara.
“Alhamdulillah papa.” Qhashifa Zuniqa menjawab sambil bibirnya yang mungil tidak lepas dari mengukir senyuman Manis.
“Good. Come here sayang. Mari breakfast dengan papa.” Datuk Affendi melipat akhbar yang sedang dibaca lalu meletakkannya di atas meja. Cawan bercorak bunga mawar yang berisi nescafe disuakan ke mulut. Air yang masih panas dihirup perlahan beberapa teguk dan cawan kembali diletak di atas meja.
“Baik papa.” Langkah Qhashifa Zuniqa terus dihayun menuju ke meja makan. Perlahan ditarik kerusi kayu berwarna coklat kemerahan bersebelahan dengan Datuk Affendi. Punggung dihenyak perlahan ke atas kerusi. Mangkuk berisi mee goreng dicapai lalu beberapa senduk mee dimasukkan ke dalam pinggan yang telah tersedia. Selesai menyenduk mee ke dalam pinggan, mangkuk mee diletakkan semula ke tempatnya. Tangannya perlahan menyuap mee goreng ke dalam mulut.
“Shifa nak buat apa hari ni?” Datuk Affendi merenung Qhashifa Zuniqa yang sedang menyuap makanan ke dalam mulut sambil tersenyum. Mee goreng memang makanan kegemaran anak kesayangannya itu, sebab itulah dari semalam Datuk Affendi telah berpesan kepada pembantu rumahnya agar menyediakan menu itu untuk juadah sarapan pagi ini.
“Shifa ingat nak keluar kejap selepas sarapan nanti papa. Kemudian nak lunch dengan papa tengahari nanti. Boleh tak papa?” Qhashifa Zuniqa memandang ke arah Datuk Affendi yang sedang meneguk baki nescafe yang masih terdapat di dalam cawannya.
“Boleh sayang. Nanti kalau Shifa dah sampai office papa, Shifa tunggu dalam bilik papa ye. Pukul sebelas nanti papa ada meeting dengan ahli lembaga pengarah.” Qhashifa Zuniqa sekadar mengangguk tanda faham. Datuk Affendi menjeling sekilas jam tangan yang melekap di pergelangan tangannya.
“Dah pukul lapan setengah ni. Papa pergi dulu sayang. Kunci kereta Shifa ada tergantung dekat tempat biasa. Nanti hati-hati memandu. Kuala Lumpur sekarang ni dah tak macam dulu. Serba-serbi berubah.” Sambil bangun dari kerusi sempat lagi Datuk Affendi meninggalkan pesan kepada anak gadisnya itu.
“Insyaallah papa. Anak papa ni akan sentiasa berhati-hati.” Senyuman paling manis dilemparkannya. Datuk Affendi hanya menggeleng kepala mendengar jawapan Qhashifa Zuniqa. Pembantu rumah yang sudah bersedia untuk mengemas cawan yang digunakan oleh Datuk Affendi turut tersenyum mendengar jawapan Qhashifa Zuniqa.
Setelah Datuk Affendi meninggalkan rumah, Qhashifa Zuniqa naik ke bilik untuk bersiap. Dengan hanya memakai jeans lusuh dan t-shirt berlengan pendek, tanpa mekap menghiasi wajah seperti kebanyakan anak gadis sebayanya, Qhashifa Zuniqa memandu kereta satrianya ke warung Mak Mah yang terletak di Kampung Baru.
Setiap kali Qhashifa Zuniqa pulang bercuti, dia tidak lupa menziarahi warung bekas pengasuhnya itu yang telah dianggapnya seperti ibunya sendiri. Ibu Qhashifa Zuniqa telah meninggal dunia seminggu selepas melahirkannya. Sejak itu Datuk Affendi tidak pernah berkahwin lagi dan Qhashifa Zuniqa diasuh oleh Mak Mah sehingga usianya menjangkau lima belas tahun. Selepas Pak Mat, suami Mak Mah meninggal dunia, Mak Mah dibawa oleh anaknya menetap di Kampung Baru.
Qhashifa Zuniqa memberhentikan keretanya di hadapan warung Mak Mah. Dari dalam kereta dia dapat melihat Mak Mah yang sibuk melayan pelanggan yang datang bersarapan pagi di warungnya. Setelah mematikan enjin kereta, Qhashifa Zuniqa membuka pintu kereta. Sebaik sahaja pintu keretanya terbuka, sebuah motosikal yang sedang menghala ke arah jalan besar merempuh pintu keretanya. Penunggangnya yang memakai topi keledar berpenutup penuh jatuh terbaring di atas jalan. Orang ramai yang sedang menjamu selera di kiri kanan jalan berlari ke arahnya.
“Tak ada apa-apa. Encik-encik boleh sambung menjamu selera semula. Terima kasih kerana prihatin” Qhashifa Zuniqa meleraikan orang ramai yang mula mengerumuni keretanya.
“Aduh! Kaki aku.” Terdengar suara dari penunggang motosikal yang sedang berusaha hendak bangun itu. Qhashifa Zuniqa segera menerpa ke arah penunggang motosikal yang tercedera itu.
“Encik! Encik tak apa-apa ke?” Qhashifa Zuniqa bertanya sambil tangannya cuba memaut lengan penunggang motosikal itu untuk membantunya bangun.
“Kau buta ke? Tak nampak kaki aku dah berdarah ni. Boleh pulak engkau tanya aku tak apa-apa ke.” Balas penunggang motosikal itu sambil tangannya menepis tangan Qhashifa Zuniqa.
“Maafkan saya. Mari saya hantarkan encik ke hospital. Segala perbelanjaan perubatan saya tanggung. Motosikal encikpun saya tanggung segala kerosakannya. Encik tunggu sini sekejap ye. Saya nak jumpa ibu angkat saya sekejap.” Tanpa menunggu jawapan dari penunggang motosikal yang telah cedera itu Qhashifa Zuniqa mencari-cari Mak Mah.
“Mak Mah! Apa khabar?” Qhashifa Zuniqa lantas bersalaman dan mencium tangan Mak Mah dan seketika tubuh tua itu dirangkulnya erat.
“Shifa apa khabar nak? Lama Mak Mah tak jumpa Shifa. Dah bertambah cantik Shifa sekarang.” Puji Mak Mah sebaik pelukan dilepaskan. Wajah Qhashifa Zuniqa yang cantik direnungnya.
“Mak Mah, Shifa datang tadi sebab rindu nak jumpa Mak Mah. Shifa ingat nak lepak sini bersembang dengan Mak Mah sampai tengahari tapi nampaknya Shifa terpaksa datang lain kali.”
“Kenapa Shifa?” Mak Mah memegang bahu Qhashifa Zuniqa.
“Hoi! Dah buat orang cedera, boleh pulak dia pergi bersembang. Cepatlah, aku sakit ni.” Terdengar suara penunggang motosikal itu menjerit dari tepi jalan.
“Mak Mah, Shifa nak hantar orang tu ke hospital kejap. Shifa salah, buka pintu kereta tak pandang dulu cermin sisi. Shifa mintak diri dulu. Nanti ada masa, Shifa datang sini jumpa Mak Mah. Motosikal yang rosak tu Shifa tumpangkan dekat sini dulu ye. Nanti Shifa suruh mekanik datang ambil.” Qhashifa Zuniqa bersalaman dengan Mak Mah lalu berjalan menuju ke arah keretanya.
Sebaik sampai di kereta, Qhashifa Zuniqa sedikit terkejut apabila terpandang penunggang motosikal yang telah sedia menunggu di tempat duduk penumpang keretanya. Topi keledar berpenutup penuh yang dipakainya juga telah dibuka menampakkan wajahnya yang tampan. Lelaki itu juga agak terkejut apabila bertentang wajah dengan Qhashifa Zuniqa. Tiba-tiba sahaja degupan jantung Qhashifa Zuniqa bertambah kencang apabila terpandang mata coklat lelaki itu.
“Maaf ye. Saya hantar awak sekarang.” Ucap Qhashifa Zuniqa sambil bergegas ke arah tempat duduk pemandu. Enjin kereta lantas dihidupkan dan kereta meluncur laju menuju ke arah Pusat Rawatan Islam yang berhampiran.
Seketika di dalam kereta keadaan senyap. Langsung tiada kata-kata yang keluar baik dari mulut Qhashifa Zuniqa mahupun lelaki yang melanggar pintu keretanya. Dari ekor matanya dia dapat melihat lelaki itu memegang kakinya yang tercedera.
“Sakit sangat ke awak? Saya minta maaf ye. Saya terlupa nak pandang cermin sisi dulu tadi.” Perlahan Qhashifa Zuniqa menuturkan kata maaf. Lelaki itu hanya mengangguk sambil tangannya masih memegang kakinya.
“Nanti segala kos saya akan tanggung, awak jangan risau.” Tambah Qhashifa Zuniqa lagi. Kereta terus meluncur di atas jalanraya yang sedikit sesak menuju ke arah Pusat Rawatan Islam yang terletak di Kampung Baru. Selepas memberhentikan kereta di hadapan pintu pusat rawatan tersebut, Qhashifa Zuniqa turun dan berlari ke dalam pusat rawatan. Seketika dia keluar semula bersama beberapa orang pekerja bahagian kecemasan yang membantu membawa lelaki itu mendapatkan rawatan.
Selepas meletakkan keretanya di tempat letak kereta yang berada di sebelah pusat rawatan, Qhashifa Zuniqa masuk ke dalam pusat rawatan dan menunggu lelaki itu di ruangan menunggu. Selepas setengah jam menunggu, tersembul wajah lelaki itu di pintu bilik rawatan. Dia berjalan menuju ke arah kaunter ubat. Qhashifa Zuniqa berjalan perlahan ke arah lelaki itu. Selepas ubat diambil, Qhashifa Zuniqa menghulurkan not seratus ringgit untuk bayaran perubatan. Setelah baki diambil, mereka bergerak ke kereta.
“Saya hantarkan awak balik. Nanti saya suruh orang hantar motosikal awak ke bengkel untuk dibaiki. Ni kad saya, apa-apa hal nanti awak call saya. Anyway, saya Qhashifa Zuniqa.” Tangan dihulur tanda perkenalan.
“Saya Syazril Zulfiqar. Maaflah saya berkasar dengan awak tadi.” Tangan yang dihulur disambut. Dua pasang mata bertentangan. Jantung berdegup kencang.
“Rumah awak dekat mana? Biar saya hantarkan awak balik.”
“Rumah saya di Sentul tapi boleh tak awak hantar saya ke Bukit Antarabangsa?”
“Kenapa Bukit Antarabangsa? Bagaimana awak boleh ada di sini sedangkan rumah awak di Sentul?” Soal Qhashifa Zuniqa kehairanan.
“Di Sentul saya tinggal sendiri. Di Bukit Antarabangsa rumah mama saya. Di sini rumah kawan saya. Malam tadi saya tumpang tidur di rumah kawan saya tu.” Jawapan Syazril Zulfiqar menghilangkan kehairanan Qhashifa Zuniqa.
“Baiklah. Awak masuk kereta dulu. Saya nak telefon papa saya sekejap untuk batalkan lunch hari ni.” Qhashifa Zuniqa lantas mendail nombor telefon pejabat Datuk Affendi dan meninggalkan pesanan kepada setiausaha Datuk Affendi. Setelah meninggalkan pesanan, Qhashifa Zuniqa masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Kereta dipandu menghala ke Bukit Antarabangsa. Keadaan yang agak sesak di waktu menghampiri tengahari menyebabkan kenderaannya dipandu agak perlahan.
“Awak dari mana? Buat apa di Kampung Baru?” Soal Syazril Zulfiqar untuk menghilangkan kebosanan apabila kedua-duanya berdiam diri.
“Saya tinggal dengan papa saya di Bukit Damansara. Datang melawat ibu angkat saya yang berniaga kat sini.” Qhashifa Zuniqa menjawab soalan yang diajukan kepadanya sambil matanya terus terarah ke jalanraya. Walaupun baru pulang dari luar negara, Qhashifa Zuniqa tidak lupa jalan ke Bukit Antarabangsa. Kereta terus dipandu perlahan sehingga sampai ke tempat yang dituju.
“Ok, dah sampai Bukit Antarabangsa. Di mana rumah mama awak?” Soal Qhashifa Zuniqa. Sekilas dijelingnya Syazril Zulfiqar yang terlena di sebelahnya.
“Ler… Dah lelap pulak. Hurm… Biar aku parking sekejap kat bawah pokok ni. Kesian pulak nak kejutkan. Sementara tunggu dia sedar, elok aku baca novel yang ada ni.” Qhashifa Zuniqa bermonolog sendiri sambil tangannya pantas menurunkan sedikit tempat duduknya. Novel yang sentiasa dibawanya bersama dibaca. Qhashifa Zuniqa memang minat membaca novel. Banyak koleksi novel yang dikumpulnya.
Sedang leka membaca novel yang dibawa, tiba-tiba kedengaran laungan azan. Nyaring. Mungkin dari masjid yang berdekatan. Qhashifa Zuniqa menjeling ke arah Syazril Zulfiqar. Kelihatan lelaki itu mengeliat sedikit dan menggosok matanya.
“Sorry awak. Saya terlelap tadi. Dah lama ke kita sampai sini?” Di wajah tampan itu terpamer rasa bersalah. Qhashifa Zuniqa hanya menggelengkan kepala.
“Kat mana rumah awak? Dah masuk waktu zohor ni.” Soal Qhashifa Zuniqa. Kalau boleh dia mahu cepat menghantar lelaki ini ke rumah. Kemudian bolehlah dia memandu pulang ke rumahnya semula. Perutnya sudah terasa lapar sebenarnya.
“Oh! Terlupa pulak awak tak tahu rumah saya.” Syazril Zulfiqar terseyum memandang wajah Qhashifa Zuniqa. Wajah itu kelihatan merona merah.
“Cantiknya dia.” Syazril Zulfiqar bermonolog di dalam hati. Matanya tak lepas dari memandang seraut wajah manis milik Qhashifa Zuniqa.
“Awak, dah lewat ni. Boleh tunjukkan saya rumah mama awak sekarang?” Qhashifa Zuniqa mematikan lamunan Syazril Zulfiqar.
“Boleh. Marilah. Awak jalan terus ni, sampai simpang kiri yang mula-mula nanti awak masuk. Jalan terus sampai hujung. Kat situlah rumah mama saya.” Terang Syazril Zulfiqar.
Qhashifa Zuniqa membetulkan tempat duduknya semula. Signal kanan diberi, brek tangan diturunkan dan kereta mula bergerak naik ke jalanraya. Kereta dipandu perlahan mencari simpang yang dikatakan oleh Syazril Zulfiqar tadi. Signal kiri diberi dan kereta dibelok masuk. Sampai ke hujung jalan, Qhashifa Zuniqa memberhentikan kenderaan dihadapan rumah banglo berwarna peach yang tersergam indah.
“Jemputlah masuk awak.” Pelawa Syazril Zulfiqar setelah Qhashifa Zuniqa memberhentikan kenderaannya.
“Tak apalah awak. Saya balik dululah. Ada hal lain pulak lepas ni.” Qhashifa Zuniqa cuba berhelah untuk tidak singgah di situ.
“Ala wak, singgahlah sekejap. Makan tengahari dulu di rumah saya. Mama pun mesti dah masak lebih ni. Tadi saya dah beritahu mama awak hantar saya balik.” Syazril Zulfiqar sebenarnya ingin memandang wajah itu lebih lama. Mempelawa makan hanyalah alasannya agar gadis itu akan berada lebih lama di hadapannya.
“Saya minta maaf awak. Tadi papa saya ada call, dia tunggu saya di rumah.” Qhashifa Zuniqa cuba mengelak dengan menggunakan alasan papanya menunggu di rumah.
“Ala… sekejap aje wak. Mama saya nak jumpa awak.”
“Kenapa mama awak nak jumpa saya? Saya takutlah, nanti mama awak marah saya pulak.”
“Tak adalah, mama nak ucap terima kasih sebab hantar saya balik. Marilah masuk.”
Hendak tak hendak, Qhashifa Zuniqa mengunci pintu keretanya dan mengikut Syazril Zulfiqar masuk ke dalam rumah. Sebaik pintu dibuka, tersembul wajah Puan Maryam, mama Syazril Zulfiqar.
“Mama, ni Qhashifa Zuniqa. Dia yang Fiq ceritakan pada mama tadi. Shifa, ni mama saya.” Syazril Zulfiqar mengenalkan kedua wanita itu.
“Apa khabar makcik?” Qhashifa Zuniqa menghulurkan tangan bersalaman dengan Puan Maryam. Tangan Puan Maryam diciumnya.
“Alhamdulillah, makcik sihat. Terima kasih hantarkan anak makcik ni ke pusat rawatan dan terima kasih juga hantarkan balik ke rumah.”
“Maafkan saya makcik. Tadi saya lalai sikit, sebab tu Fiq tercedera.”
“Tak apalah, perkara dah nak jadi. Fiq pun tak apa-apa, cedera sikit aje.”
“Ma, Fiq laparlah. Shifa pun tak makan lagi. Kesian dia, sebab nak hantar Fiq balik, dia terpaksa batalkan janji nak lunch dengan papa dia.” Syazril Zulfiqar membuat muka kasihan.
“Saya tak kisah makcik. Lagipun saya tak boleh lama ni, papa dah tunggu dekat rumah.”
“Dah, mama dah suruh bibik masakkan lebih tadi. Jom! Kita makan.”
“Mari Shifa, lepas makan nanti, barulah awak balik ye.”
Mereka semua berjalan menuju meja makan. Mata Qhashifa Zuniqa terbeliak memandang juadah yang penuh di atas meja. Semuanya masakan kampung. Dah lama dia tak makan masakan kampung. Kalau balik bercuti barulah dia dapat merasa masakan seperti itu. Sewaktu di luar negara, tak merasa masakan sebegitu.
“Kenapa Shifa? Tak makan masakan kampung ke? Makcik minta maaflah. Makcik boleh suruh bibik masakkan yang lain untuk Shifa.” Puan Maryam menggamit pembantu rumahnya datang ke meja makan.
“Eh! Tak adalah makcik. Shifa dah lama tak makan masakan kampung macam ni. Kat tempat Shifa belajar dulu tak ada semua ni. Kalau nak makan, tunggulah Shifa balik bercuti dulu.” Terang Qhashifa Zuniqa malu-malu.
“Oh! Shifa belajar dekat mana dulu?” Puan Maryam bertanya sambil tangannya menyendukkan nasi ke dalam pinggan.
“London, makcik. Semalam baru Shifa balik sini.” Jawab Qhashifa Zuniqa sambil menyambut pinggan berisi nasi yang dihulurkan oleh Puan Maryam.
“Shifa balik cuti ke?” Soal Puan Maryam lagi.
“Tak. Shifa dah habis belajar dah.” Jawab Qhashifa Zuniqa sambil tangannya menceduk lauk udang masak lemak cili api yang terhidang di atas meja.
“Makanlah Shifa. Fiq ni kalau balik memang makcik suruh bibik buatkan udang masak lemak cili api. Itu makanan kegemaran dia tu. Fiq! Apa senyum-senyum tu. Makan cepat.” Jerkahan Puan Maryam mengejutkan Syazril Zulfiqar. Kelam-kabut dia menyuap makanan ke dalam mulut. Qhashifa Zuniqa hanya tersenyum.
“Apalah mama ni. Buat malu orang je.” Gumamnya dalam hati.
Selesai menjamu selera, Qhashifa Zuniqa menawarkan diri membantu mengemaskan meja makan namun dihalang oleh Puan Maryam. Katanya ada pembantu rumah untuk menyiapkan semua kerja. Qhashifa Zuniqa diajak berehat sebentar di ruang tamu. Seketika kemudian kedengaran telefon bimbit Qhashifa Zuniqa berdering.
“Maafkan saya makcik, papa saya call. Hello papa. Ye, Shifa nak balik ni. Papa dah ada dekat rumah? Papa makan dulu ye. Shifa dah makan dah ni. Ye papa. Kita jumpa kejap lagi. Assalamualaikum.” Panggilan dimatikan. Qhashifa Zuniqa memandang Puan Maryam dan Syazril Zulfiqar bersilih ganti.
“Kenapa Shifa? Papa panggil balik ye?” Soal Puan Maryam yang terdengar perbualan Qhashifa Zuniqa sebentar tadi.
“Ye, makcik. Saya mintak diri dulu ye. Fiq, awak habiskan ubat tu. Tentang motosikal awak tu janganlah awak risau. Saya akan minta mekanik hantarkan ke sini selepas siap diperbaiki.”
“Senang-senang nanti Shifa datanglah rumah makcik lagi ye. Nanti boleh makan masakan kampung lagi. Kita pun boleh sembang-sembang. Makcik pun tak ada anak perempuan nak ajak bersembang. Fiq ni bukannya ada masa untuk makcik. Asyik sibuk dengan urusan dia sendiri aje.” Wajah Puan Maryam seperti mengharap.
Terasa simpati pula Qhashifa Zuniqa mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Puan Maryam. Syazril Zulfiqar hanya menjadi pemerhati dan pendengar sahaja akan bicara ibunya dan gadis yang telah mula mengisi ruang hatinya itu.
“Insyaallah makcik. Jika saya ada masa lapang, saya jenguk makcik di sini. Itupun kalau tak ada yang marahlah.” Kata-kata Qhashifa Zuniqa yang ditujukan kepada Syazril Zulfiqar diakhiri dengan tawa perlahan. Syazril Zulfiqar hanya membuat wajah tidak mengerti. Puan Maryam turut tertawa mendengar kata-kata Qhashifa Zuniqa.
“Takde siapa yang nak marah Shifa. Kalau dia marah, kenapa dia tak mahu temankan mama dia ni. Kalau nak semua kasih-sayang dan perhatian mama dia ni, dia pun kenalah beri sepenuh perhatian kepada mama dia ni.” Puan Maryam tersenyum melihat Syazril Zulfiqar yang mula menarik muka.
Setelah meminta diri, Qhashifa Zuniqa meninggalkan rumah Puan Maryam. Langkahnya diikuti oleh Syazril Zulfiqar dengan pandangan yang tidak dapat dikenalpasti. Hanya Syazril Zulfiqar yang mengerti apa yang tersirat di dalam hatinya.
Kereta Qhashifa Zuniqa yang meninggalkan ruang meletak kenderaan di rumah Puan Maryam dipandang hingga hilang. Sebaik kereta Qhashifa Zuniqa hilang dari pandangan, Puan Maryam menepuk bahu anaknya.
“Apsal pandang anak dara orang sampai tembus tu? Kalau suka, pikatlah. Mama pun suka dengan Shifa tu.” Ucap Puan Maryam memberi semangat kepada anak teruna kesayangannya itu.
“Ma, Fiq tak beranilah. Fiq baru kenal dia tadi. Manalah tahu dia dah ada teman lelaki. Kira Fiq kacau daun pulak nanti.” Syazril Zulfiqar berlalu ke ruang tamu. Punggung dihenyak ke sofa yang terletak di hadapan tv. Puan Maryam membontoti anaknya itu. Di dalam hatinya tahu yang anak terunanya itu telah jatuh suka kepada Qhashifa Zuniqa yang manis dan lemah lembut. Dia sendiripun sudah terpikat dengan tingkah laku gadis itu.
“Fiq, kenapa bawak motosikal. Kereta Fiq mana?” Soal Puan Maryam.
“Ma, Fiq dah lambat tadi. Tu sebab Fiq pinjam motosikal Zaki. Zaki cuti hari ni. Mana tahu terlanggar pulak pintu kereta Shifa.” Katanya sambil tersenyum mengingatkan kejadian pagi tadi.
“Macam mana boleh terlanggar pulak. Fiq bawa laju ye?” Soal Puan Maryam lagi.
“Ma ni kan, soal orang macam polis pencen. Fiq bawak tak adalah laju sangat tapi entah macam mana boleh terlanggar juga. Agaknya si Shifa tu buka pintu tak pandang kiri kanan.” Katanya sambil tersengih.
“Fiq, entah-entah itu jodoh Fiq tak? Anak mama ni pun dah dua puluh tujuh tahun dah.” Puan Maryam tersenyum melihat anaknya yang sudah merah muka menahan malu.
“Mama ni kan, entah-entah orang tu dah ada teman lelaki. Entah-entah dah bertunang.” Terdapat sedikit rasa kecewa pada nada suaranya.
“Anak mama sedih ye? Fiq, belum cuba belum tahu.” Puan Maryam meninggalkan anaknya bersendirian melayan perasaan. Dia tahu Syazril Zulfiqar ada menyimpan perasaan pada gadis manis itu. Dia juga berharap gadis semanis dan sesopan itu akan menjadi menantunya, isteri kepada anak kesayangannya.
Syazril Zulfiqar menyeluk sakunya. Dikeluarkan kad nama yang diberikan oleh Qhashifa Zuniqa semasa di pusat rawatan tadi. Kad itu direnungnya.
“Qhashifa Zuniqa. Cantik namanya secantik orangnya. Lemah-lembut penuh kesopanan. Kalaulah kau belum berpunya, aku rela menjadi pencintamu yang setia.” Syazril Zulfiqar bermonolog di dalam hati.” Tanpa disedarinya, Puan Maryam memerhatikannya dari satu sudut rumah.
“Anak aku ni dah angau ni. Tak lama lagi bermenantulah aku.” Puan Maryam berlalu ke taman mininya sambil tersenyum.
Beg duit yang diletakkan di poket belakang dikeluarkan oleh Syazril Zulfiqar. Kad nama yang sudah puas direnung disimpan di dalam beg duit itu. Beg duit itu diletakkan di atas meja. Syazril Zulfiqar bangun dari sofa. Langkah diatur perlahan menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas rumah banglo dua tingkat itu.
Di dalam bilik, Syazril Zulfiqar merebahkan dirinya di atas katil bertilam empuk yang terletak di tepi tingkap biliknya. Sambil berbaring dia terbayang wajah Qhashifa Zuniqa yang ditemuinya secara tidak sengaja tadi. Tanpa sedar dia terlena bersama bayangan wajah manis itu.
Posted by hamba_allah at 16:56 0 comments
Wednesday, June 3, 2009
Perangkap Lebuhraya
Kring! Kring! Farid mengarahkan pandangannya ke situ. Dengan malas dia mencapai gagang telefon berwarna merah jambu itu.
“Hello! Farid di sini.”
“Farid, saya ni. Awak masuk bilik saya sekejap.”
“Baiklah Encik Harun.” Selepas selesai perbualan, Farid lantas meletakkan semula gagang telefon ke tempatnya. Langkahnya dihayun perlahan menuju ke bilik Encik Harun yang terletak berhadapan dengan biliknya.
Tok! Tok! Pintu bilik Encik Harun diketuknya perlahan.
“Masuk!” Terdengar jawapan dari dalam bilik. Farid memulas tombol pintu lalu masuk ke dalam bilik lelaki berumur separuh abad dan berkepala hampir botak itu. Lelaki yang dipanggil Encik Harun itu menjawat jawatan sebagai Pengurus Kewangan di syarikat tempat Farid mencari rezeki.
“Ya, ada apa Encik Harun nak jumpa saya?” Soal Farid sopan. Walaupun Encik Harun berwajah garang dan seorang yang sangat tegas namun beliau merupakan seorang ketua yang baik dan bertimbang rasa. Farid sangat mengagumi dan menghormati ketuanya itu.
“Ha! Farid. Saya sebenarnya nak mintak tolong awak sikit ni.” Jawab Encik Harun. Farid menunggu kata-kata yang bakal disampaikan oleh Encik Harun sambil memandang tepat ke wajah ketuanya itu.
Setelah agak lama menanti, Farid yang merasa kurang sabar terus bersuara. “Apa yang boleh saya tolong, Encik Harun?” Soalnya. Encik Harun memandang ke arahnya sambil mengukir senyuman.
“Begini Farid. Awak tahukan yang esok saya kena ke Perlis untuk buat pembentangan di cawangan kita di sana. Semua slide yang hendak saya bentangkan esok telah saya sediakan. Tapi petang tadi saya terima panggilan dari adik saya mengatakan yang ibu saya sakit kuat di kampung. Saya terpaksa balik ke kampung menjenguk ibu saya tu. Jadi saya harap awak dapat menggantikan saya ke Perlis esok.” Wajahnya kelihatan sangat mengharap. Farid berasa serba salah. Hendak ditolak tidak sampai hati kerana ketuanya itu bukan sengaja berbuat begitu. Hendak diterima masanya telah suntuk. Setelah berfikir seketika, akhirnya Farid bersetuju.
“Baiklah Encik Harun. Nampaknya malam ni jugaklah saya terpaksa bertolak ke sana.” Ujarnya.
“Farid, kalau awak nak guna kereta syarikat tu, awak gunalah. Kalau awak nak guna kereta sendiri pun tak apa. Nanti segala perbelanjaan minyak, tol, makan dan penginapan, awak claim balik.” Encik Harun memberi cadangan.
“Saya rasa eloklah saya guna kereta saya sendiri je Encik Harun. Kereta saya tu pun tak pernah jalan jauh, setakat dalam KL ni aje sejak dibeli.” Balas Farid sambil tersengih. Encik Harun turut tersenyum melihat anak buahnya itu yang tidak pernah mengatakan tidak setiap kali dia meminta pertolongan.
“Baguslah kalau macam tu. Farid, saya rasa eloklah awak balik sekarang. Boleh juga awak siapkan barangan peribadi yang awak hendak bawa sekali. Dan jangan lupa bawa sekali beg ni. Dalam ni ada semua slide yang awak nak gunakan esok.” Encik Harun mengingatkan Farid yang baru hendak melangkah menuju ke pintu sambil memuncungkan mulutnya ke arah kerusi di depannya. Farid menoleh lalu tersenyum kerana kealpaannya. Tangannya pantas mencapai beg yang terletak di atas kerusi dan meminta diri untuk balik ke biliknya. Selesai mengambil barangannya di bilik, Farid lalu pulang ke rumah.
Suasana jalanraya di Kuala Lumpur pada waktu petang terutama waktu puncak memang sangat meletihkan. Farid juga tak lepas dari menghadapi perkara yang sama. Kereta yang dipandu seperti tidak bergerak di atas jalan raya. Kelihatan di persimpangan, terpacak berdiri di tengah-tengah jalan polis trafik berbaju putih menjaga lalu lintas agar teratur dan lancar. Sebagai seorang manusia yang telah dididik supaya bersabar dalam apa jua tindakan, Farid sentiasa bertenang sepanjang berada di dalam kereta yang dipandunya. Setelah lebih sejam berada di dalam kereta, akhirnya Farid selamat sampai ke rumah.
“Lambat abang sampai hari ni bang?” Sapa Linda, isteri Farid yang menemankan anak mereka membuat kerja sekolah di ruang tamu sebaik Farid membuka pintu.
“Hurm… Hari ni jalan jem teruk sikit la. Tak macam selalu.” Jawab Farid sambil berlalu naik ke bilik. “Yang, tolong siapkan baju abang sepasang dua. Abang kena ke Perlis malam ni.” Pesannya sambil melangkah mendaki ke bilik.
“Ada apa ke sana bang? Tergesa-gesa je. Ada apa-apa ke ni?” Linda bertanya seperti seorang polis pencen.
“Encik Harun yang minta abang gantikan dia buat pembentangan kat cawangan sana. Petang sebelum balik tadi baru dia bagitau abang.” Jawab Farid.
“Kenapa dia minta abang ganti?” Linda yang mengikuti di belakangnya terus bertanya.
“Dia nak balik kampung sebab mak dia sakit kuat.” Balas Farid sambil masuk ke bilik mandi. Seketika terdengar bunyi jirusan air di bilik mandi. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, Farid keluar dari bilik mandi dan bersiap.
“Makan dululah bang. Nanti takut lapar pula di tengah perjalanan.”
“Ye lah. Abang pun lapar ni. Abang rasa lepas solat Isyak baru abang bertolak.” Ujarnya. Mereka lantas turun ke bawah semula. Linda menyediakan makan malam sementara Farid menggantikan Linda melayani anak mereka menyelesaikan kerja rumah yang diberi oleh guru.
Selesai makan dan bersolat, Farid memulakan perjalanannya bersendirian. Ketika baru memasuki lebuhraya menuju ke utara tanahair, masih kelihatan banyak kenderaan di kedua-dua arah. Suasana malam di lebuhraya masih seperti suasana di Kuala Lumpur di waktu tengah malam. Masih banyak kenderaan melaluinya.
Farid menghidupkan radio keretanya sebagai peneman. Memandu bersendirian di waktu malam tentu mengantuk jika tiada sebarang penyegar. Hendak berbual, tiada kawan di sebelah untuk dilayan bercerita. Hendak menghisap rokok, Farid bukanlah seorang perokok, oleh sebab itulah dia memilih siaran Hot.fm yang lebih hangat dari biasa menemani sepanjang perjalanannya.
Ketika melepasi satu susur keluar ke tol, suasana di kiri kanan lebuhraya terasa seperti suram dan sunyi walaupun terdapat tiang-tiang lampu berderetan di tepi lebuhraya. Tiada sebarang kenderaan yang melalui lebuhraya ketika itu.
“Hai! Nampaknya aku sorang je yang berada di atas lebuhraya ni. Takde satupun kereta mengikuti mahupun berselisih dengan aku ni.” Getus Farid sendirian. Cermin pandang belakang diintainya. Sah! Takde satu keretapun yang mengikutinya.
Jam di dashboard kereta dijelingnya. “Dah pukul satu pagi. Patutlah sunyi.” Bisiknya. Siaran radio kereta ditukar. “Layan Sinar.fm la sekejap.” Seketika berkumandang lagu-lagu cinta berentak perlahan memenuhi ruang dalam kereta. Tiba-tiba dia terasa panas walaupun pendingin udara memang telah sedia terpasang sejak dia memulakan perjalanan.
“Ish! Apsal panas sangat ni? Aircond dah maximum aku pasang ni.” Farid mengomel sendirian. Cermin kereta lantas diturunkannya. “Lega dapat angin segar. Nyaman.” Tetiba pandangannya terarah ke tepi jalan. Dia lalu memperlahankan sedikit keretanya. Matanya tertancap pada sesusuk tubuh wanita yang berdiri di tepi lebuhraya.
“Apa pulak perempuan ni buat kat tepi highway ni? Ada rumah ke dekat-dekat sini agaknya?” Farid merasa sedikit curiga. Keretanya dipandu agak perlahan, namun tiada tanda-tanda dia hendak berhenti bertanyakan arah wanita itu. Ketika melintasi wanita itu, hidungnya tercium bau yang sangat wangi. Dipandangnya wajah wanita yang berdiri itu sejenak. Dia tersenyum memandang ke arah Farid. “Manis.” Hatinya berkata. Bibirnya mengukir senyuman nakal namun senyuman itu mati begitu saja.
“Ish! Tak sanggup aku nak berhenti. Entahkan manusia entahkan syaitan. Buatnya perompak ke, nahas aku. Takpun hantu penunggu highway ni, entah apa-apa jadi kat aku pulak nanti.” Persoalan itu bermain-main di dalam kotak fikirannya.
Apabila kenderaannya telah melepasi wanita itu, dia mengintai cermin pandang belakang sekali lagi. Dadanya berdebar apabila wanita itu tidak kelihatan di dalam cermin. Dia menoleh ke belakang untuk memastikan apa yang dilihatnya di cermin dan sah wanita itu tiada di tempat ia berdiri tadi. “Ish! Mana pergi perempuan cantik tu agaknya ye? Cepat sangat hilangnya.” Bisiknya lagi.
Ketika sampai di sebuah hentian yang disediakan oleh pihak lebuhraya, Farid yang merasa sedikit keletihan dan mengantuk memberhentikan kenderaannya. “Berhenti rehatlah kejap. Ngantuk pulak.” Getusnya.
Farid merebahkan kerusi di bahagian pemandu lalu melelapkan matanya seketika. Setelah lebih kurang setengah jam melelapkan mata, Farid lantas bangun dan pergi ke tandas untuk mencuci muka bagi menghilangkan kesan-kesan mengantuk yang dialaminya. Suasana agak sunyi kerana cuma terdapat beberapa orang sahaja pemandu yang berhenti di situ.
Selepas mencuci muka, Farid pergi ke arah deretan kedai yang didirikan oleh pihak lebuhraya. Tujuannya hanya satu, tidak lain untuk mencari segelas teh tarik sebagai penghilang dahaga dan penambah tenaga. Setelah apa yang dicarinya ditemui, dia kembali semula ke arah keretanya yang diparkir di tempat letak kereta yang terletak tidak jauh dari tandas.
Ketika Farid menghayun langkah menuju ke arah keretanya, terasa angin bertiup keras ke mukanya. Bauan wangi menusuk hidung. Lolongan anjing yang entah dari mana datangnya tiba-tiba bersahutan. “Ish! Apa pulak ni?” Bisiknya sambil terus berjalan.
Sebaik sampai di keretanya, Farid terus menghidupkan enjin dan berlalu meninggalkan hentian itu. Ketika menjeling jam di dashboard, kelihatan angka tiga tertera di situ. “Dah pukul tiga pagi. Kejap lagi sampailah ni.” Ucapnya perlahan.
Kira-kira lima puluh meter meninggalkan hentian, Farid terasa pergerakan keretanya agak perlahan walaupun pedal minyak telah ditekan sepenuhnya. “Apsal berat sangat ni?” Katanya sendiri. Tiba-tiba bau wangi yang dihidunya di hentian tadi muncul semula. Perasaannya menjadi tidak menentu. Dia terasa seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikannya. Dia lantas memandang ke belakang melalui cermin pandang belakang.
Farid terkejut apabila terpandang wanita cantik yang dilihatnya sebelum berhenti di hentian tadi berada di kerusi penumpang belakang sambil memandang ke arahnya. Dengan segera dia melarikan pandangannya ke hadapan namun dia sangat terkejut apabila dilihatnya wanita cantik itu sudah berada di atas bonet hadapan keretanya. Wanita cantik itu berubah menjadi satu lembaga hodoh dan melekap di cermin hadapan keretanya. Dia lantas tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbabas ke tepi lebuhraya. Keretanya mengalami beberapa kerosakan akibat terlanggar pembahagi jalan.
Sejurus ditimpa kemalangan tersebut, Farid segera menelefon pihak polis dan bantuan diberikan kepadanya lebih kurang setengah jam selepas itu. Ambulan yang datang setelah dimaklumkan oleh pihak polis menghantar Farid ke hospital berdekatan akibat kecederaan yang dialaminya. Ketika menerima rawatan di hospital, barulah Farid mendapat tahu yang di kawasan itu memang selalu berlaku kemalangan seperti yang dialaminya.
Posted by hamba_allah at 10:28 0 comments
Tuesday, June 2, 2009
Misteri Pokok Rambai
Ketika melalui sebatang pokok rambai yang tumbuh rendang di tepi jalan utama kampung, serta-merta bulu tengkuk Ridhwan meremang. Dia tidak berkata apa-apa dan meneruskan perjalanan menuju ke warung. Sejurus sampai di warung, dilihatnya cuma ada beberapa kerat sahaja pelanggan yang sedang menjamu selera. Tiada seorangpun yang dikenalinya. Ridhwan masuk dan duduk di sudut warung. Mak Jah mendekati Ridhwan sebaik dia duduk di situ.
“Bila kamu balik Wan?” Soal Mak Jah kepada Ridhwan sambil matanya tidak berkelip memandang ke bahu Ridhwan. “Tengahari tadi Mak Jah. Mak dengan ayah saya tak ada di rumah masa saya sampai tadi, menziarah saudara yang meninggal kat Batu Pahat.” Balas Ridhwan. Dia kehairanan apabila terpandang Mak Jah memerhatikan bahunya lantas dia memalingkan muka untuk melihat. Ridhwan terkejut sebaik terpandang kesan.....
Bakal menemui anda....
Posted by hamba_allah at 09:25 0 comments