BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, June 29, 2009

Akhirnya..... Cinta Itu part 1

“Morning papa!” Qhashifa Zuniqa mengatur langkah perlahan menuruni tangga yang terletak berhadapan dengan ruang makan. Datuk Affendi yang sedang membaca akhbar di meja makan disapanya manja.

“Morning! Macam mana anak papa malam tadi? Tidur lena?” Datuk Affendi memandang sekilas ke arah anak kesayangannya yang baru semalam pulang dari luar negara.

“Alhamdulillah papa.” Qhashifa Zuniqa menjawab sambil bibirnya yang mungil tidak lepas dari mengukir senyuman Manis.

“Good. Come here sayang. Mari breakfast dengan papa.” Datuk Affendi melipat akhbar yang sedang dibaca lalu meletakkannya di atas meja. Cawan bercorak bunga mawar yang berisi nescafe disuakan ke mulut. Air yang masih panas dihirup perlahan beberapa teguk dan cawan kembali diletak di atas meja.

“Baik papa.” Langkah Qhashifa Zuniqa terus dihayun menuju ke meja makan. Perlahan ditarik kerusi kayu berwarna coklat kemerahan bersebelahan dengan Datuk Affendi. Punggung dihenyak perlahan ke atas kerusi. Mangkuk berisi mee goreng dicapai lalu beberapa senduk mee dimasukkan ke dalam pinggan yang telah tersedia. Selesai menyenduk mee ke dalam pinggan, mangkuk mee diletakkan semula ke tempatnya. Tangannya perlahan menyuap mee goreng ke dalam mulut.

“Shifa nak buat apa hari ni?” Datuk Affendi merenung Qhashifa Zuniqa yang sedang menyuap makanan ke dalam mulut sambil tersenyum. Mee goreng memang makanan kegemaran anak kesayangannya itu, sebab itulah dari semalam Datuk Affendi telah berpesan kepada pembantu rumahnya agar menyediakan menu itu untuk juadah sarapan pagi ini.

“Shifa ingat nak keluar kejap selepas sarapan nanti papa. Kemudian nak lunch dengan papa tengahari nanti. Boleh tak papa?” Qhashifa Zuniqa memandang ke arah Datuk Affendi yang sedang meneguk baki nescafe yang masih terdapat di dalam cawannya.

“Boleh sayang. Nanti kalau Shifa dah sampai office papa, Shifa tunggu dalam bilik papa ye. Pukul sebelas nanti papa ada meeting dengan ahli lembaga pengarah.” Qhashifa Zuniqa sekadar mengangguk tanda faham. Datuk Affendi menjeling sekilas jam tangan yang melekap di pergelangan tangannya.

“Dah pukul lapan setengah ni. Papa pergi dulu sayang. Kunci kereta Shifa ada tergantung dekat tempat biasa. Nanti hati-hati memandu. Kuala Lumpur sekarang ni dah tak macam dulu. Serba-serbi berubah.” Sambil bangun dari kerusi sempat lagi Datuk Affendi meninggalkan pesan kepada anak gadisnya itu.

“Insyaallah papa. Anak papa ni akan sentiasa berhati-hati.” Senyuman paling manis dilemparkannya. Datuk Affendi hanya menggeleng kepala mendengar jawapan Qhashifa Zuniqa. Pembantu rumah yang sudah bersedia untuk mengemas cawan yang digunakan oleh Datuk Affendi turut tersenyum mendengar jawapan Qhashifa Zuniqa.

Setelah Datuk Affendi meninggalkan rumah, Qhashifa Zuniqa naik ke bilik untuk bersiap. Dengan hanya memakai jeans lusuh dan t-shirt berlengan pendek, tanpa mekap menghiasi wajah seperti kebanyakan anak gadis sebayanya, Qhashifa Zuniqa memandu kereta satrianya ke warung Mak Mah yang terletak di Kampung Baru.

Setiap kali Qhashifa Zuniqa pulang bercuti, dia tidak lupa menziarahi warung bekas pengasuhnya itu yang telah dianggapnya seperti ibunya sendiri. Ibu Qhashifa Zuniqa telah meninggal dunia seminggu selepas melahirkannya. Sejak itu Datuk Affendi tidak pernah berkahwin lagi dan Qhashifa Zuniqa diasuh oleh Mak Mah sehingga usianya menjangkau lima belas tahun. Selepas Pak Mat, suami Mak Mah meninggal dunia, Mak Mah dibawa oleh anaknya menetap di Kampung Baru.

Qhashifa Zuniqa memberhentikan keretanya di hadapan warung Mak Mah. Dari dalam kereta dia dapat melihat Mak Mah yang sibuk melayan pelanggan yang datang bersarapan pagi di warungnya. Setelah mematikan enjin kereta, Qhashifa Zuniqa membuka pintu kereta. Sebaik sahaja pintu keretanya terbuka, sebuah motosikal yang sedang menghala ke arah jalan besar merempuh pintu keretanya. Penunggangnya yang memakai topi keledar berpenutup penuh jatuh terbaring di atas jalan. Orang ramai yang sedang menjamu selera di kiri kanan jalan berlari ke arahnya.

“Tak ada apa-apa. Encik-encik boleh sambung menjamu selera semula. Terima kasih kerana prihatin” Qhashifa Zuniqa meleraikan orang ramai yang mula mengerumuni keretanya.

“Aduh! Kaki aku.” Terdengar suara dari penunggang motosikal yang sedang berusaha hendak bangun itu. Qhashifa Zuniqa segera menerpa ke arah penunggang motosikal yang tercedera itu.

“Encik! Encik tak apa-apa ke?” Qhashifa Zuniqa bertanya sambil tangannya cuba memaut lengan penunggang motosikal itu untuk membantunya bangun.

“Kau buta ke? Tak nampak kaki aku dah berdarah ni. Boleh pulak engkau tanya aku tak apa-apa ke.” Balas penunggang motosikal itu sambil tangannya menepis tangan Qhashifa Zuniqa.

“Maafkan saya. Mari saya hantarkan encik ke hospital. Segala perbelanjaan perubatan saya tanggung. Motosikal encikpun saya tanggung segala kerosakannya. Encik tunggu sini sekejap ye. Saya nak jumpa ibu angkat saya sekejap.” Tanpa menunggu jawapan dari penunggang motosikal yang telah cedera itu Qhashifa Zuniqa mencari-cari Mak Mah.

“Mak Mah! Apa khabar?” Qhashifa Zuniqa lantas bersalaman dan mencium tangan Mak Mah dan seketika tubuh tua itu dirangkulnya erat.

“Shifa apa khabar nak? Lama Mak Mah tak jumpa Shifa. Dah bertambah cantik Shifa sekarang.” Puji Mak Mah sebaik pelukan dilepaskan. Wajah Qhashifa Zuniqa yang cantik direnungnya.

“Mak Mah, Shifa datang tadi sebab rindu nak jumpa Mak Mah. Shifa ingat nak lepak sini bersembang dengan Mak Mah sampai tengahari tapi nampaknya Shifa terpaksa datang lain kali.”

“Kenapa Shifa?” Mak Mah memegang bahu Qhashifa Zuniqa.

“Hoi! Dah buat orang cedera, boleh pulak dia pergi bersembang. Cepatlah, aku sakit ni.” Terdengar suara penunggang motosikal itu menjerit dari tepi jalan.

“Mak Mah, Shifa nak hantar orang tu ke hospital kejap. Shifa salah, buka pintu kereta tak pandang dulu cermin sisi. Shifa mintak diri dulu. Nanti ada masa, Shifa datang sini jumpa Mak Mah. Motosikal yang rosak tu Shifa tumpangkan dekat sini dulu ye. Nanti Shifa suruh mekanik datang ambil.” Qhashifa Zuniqa bersalaman dengan Mak Mah lalu berjalan menuju ke arah keretanya.

Sebaik sampai di kereta, Qhashifa Zuniqa sedikit terkejut apabila terpandang penunggang motosikal yang telah sedia menunggu di tempat duduk penumpang keretanya. Topi keledar berpenutup penuh yang dipakainya juga telah dibuka menampakkan wajahnya yang tampan. Lelaki itu juga agak terkejut apabila bertentang wajah dengan Qhashifa Zuniqa. Tiba-tiba sahaja degupan jantung Qhashifa Zuniqa bertambah kencang apabila terpandang mata coklat lelaki itu.

“Maaf ye. Saya hantar awak sekarang.” Ucap Qhashifa Zuniqa sambil bergegas ke arah tempat duduk pemandu. Enjin kereta lantas dihidupkan dan kereta meluncur laju menuju ke arah Pusat Rawatan Islam yang berhampiran.

Seketika di dalam kereta keadaan senyap. Langsung tiada kata-kata yang keluar baik dari mulut Qhashifa Zuniqa mahupun lelaki yang melanggar pintu keretanya. Dari ekor matanya dia dapat melihat lelaki itu memegang kakinya yang tercedera.

“Sakit sangat ke awak? Saya minta maaf ye. Saya terlupa nak pandang cermin sisi dulu tadi.” Perlahan Qhashifa Zuniqa menuturkan kata maaf. Lelaki itu hanya mengangguk sambil tangannya masih memegang kakinya.

“Nanti segala kos saya akan tanggung, awak jangan risau.” Tambah Qhashifa Zuniqa lagi. Kereta terus meluncur di atas jalanraya yang sedikit sesak menuju ke arah Pusat Rawatan Islam yang terletak di Kampung Baru. Selepas memberhentikan kereta di hadapan pintu pusat rawatan tersebut, Qhashifa Zuniqa turun dan berlari ke dalam pusat rawatan. Seketika dia keluar semula bersama beberapa orang pekerja bahagian kecemasan yang membantu membawa lelaki itu mendapatkan rawatan.

Selepas meletakkan keretanya di tempat letak kereta yang berada di sebelah pusat rawatan, Qhashifa Zuniqa masuk ke dalam pusat rawatan dan menunggu lelaki itu di ruangan menunggu. Selepas setengah jam menunggu, tersembul wajah lelaki itu di pintu bilik rawatan. Dia berjalan menuju ke arah kaunter ubat. Qhashifa Zuniqa berjalan perlahan ke arah lelaki itu. Selepas ubat diambil, Qhashifa Zuniqa menghulurkan not seratus ringgit untuk bayaran perubatan. Setelah baki diambil, mereka bergerak ke kereta.

“Saya hantarkan awak balik. Nanti saya suruh orang hantar motosikal awak ke bengkel untuk dibaiki. Ni kad saya, apa-apa hal nanti awak call saya. Anyway, saya Qhashifa Zuniqa.” Tangan dihulur tanda perkenalan.

“Saya Syazril Zulfiqar. Maaflah saya berkasar dengan awak tadi.” Tangan yang dihulur disambut. Dua pasang mata bertentangan. Jantung berdegup kencang.

“Rumah awak dekat mana? Biar saya hantarkan awak balik.”

“Rumah saya di Sentul tapi boleh tak awak hantar saya ke Bukit Antarabangsa?”

“Kenapa Bukit Antarabangsa? Bagaimana awak boleh ada di sini sedangkan rumah awak di Sentul?” Soal Qhashifa Zuniqa kehairanan.

“Di Sentul saya tinggal sendiri. Di Bukit Antarabangsa rumah mama saya. Di sini rumah kawan saya. Malam tadi saya tumpang tidur di rumah kawan saya tu.” Jawapan Syazril Zulfiqar menghilangkan kehairanan Qhashifa Zuniqa.

“Baiklah. Awak masuk kereta dulu. Saya nak telefon papa saya sekejap untuk batalkan lunch hari ni.” Qhashifa Zuniqa lantas mendail nombor telefon pejabat Datuk Affendi dan meninggalkan pesanan kepada setiausaha Datuk Affendi. Setelah meninggalkan pesanan, Qhashifa Zuniqa masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Kereta dipandu menghala ke Bukit Antarabangsa. Keadaan yang agak sesak di waktu menghampiri tengahari menyebabkan kenderaannya dipandu agak perlahan.

“Awak dari mana? Buat apa di Kampung Baru?” Soal Syazril Zulfiqar untuk menghilangkan kebosanan apabila kedua-duanya berdiam diri.

“Saya tinggal dengan papa saya di Bukit Damansara. Datang melawat ibu angkat saya yang berniaga kat sini.” Qhashifa Zuniqa menjawab soalan yang diajukan kepadanya sambil matanya terus terarah ke jalanraya. Walaupun baru pulang dari luar negara, Qhashifa Zuniqa tidak lupa jalan ke Bukit Antarabangsa. Kereta terus dipandu perlahan sehingga sampai ke tempat yang dituju.

“Ok, dah sampai Bukit Antarabangsa. Di mana rumah mama awak?” Soal Qhashifa Zuniqa. Sekilas dijelingnya Syazril Zulfiqar yang terlena di sebelahnya.

“Ler… Dah lelap pulak. Hurm… Biar aku parking sekejap kat bawah pokok ni. Kesian pulak nak kejutkan. Sementara tunggu dia sedar, elok aku baca novel yang ada ni.” Qhashifa Zuniqa bermonolog sendiri sambil tangannya pantas menurunkan sedikit tempat duduknya. Novel yang sentiasa dibawanya bersama dibaca. Qhashifa Zuniqa memang minat membaca novel. Banyak koleksi novel yang dikumpulnya.

Sedang leka membaca novel yang dibawa, tiba-tiba kedengaran laungan azan. Nyaring. Mungkin dari masjid yang berdekatan. Qhashifa Zuniqa menjeling ke arah Syazril Zulfiqar. Kelihatan lelaki itu mengeliat sedikit dan menggosok matanya.

“Sorry awak. Saya terlelap tadi. Dah lama ke kita sampai sini?” Di wajah tampan itu terpamer rasa bersalah. Qhashifa Zuniqa hanya menggelengkan kepala.

“Kat mana rumah awak? Dah masuk waktu zohor ni.” Soal Qhashifa Zuniqa. Kalau boleh dia mahu cepat menghantar lelaki ini ke rumah. Kemudian bolehlah dia memandu pulang ke rumahnya semula. Perutnya sudah terasa lapar sebenarnya.

“Oh! Terlupa pulak awak tak tahu rumah saya.” Syazril Zulfiqar terseyum memandang wajah Qhashifa Zuniqa. Wajah itu kelihatan merona merah.

“Cantiknya dia.” Syazril Zulfiqar bermonolog di dalam hati. Matanya tak lepas dari memandang seraut wajah manis milik Qhashifa Zuniqa.

“Awak, dah lewat ni. Boleh tunjukkan saya rumah mama awak sekarang?” Qhashifa Zuniqa mematikan lamunan Syazril Zulfiqar.

“Boleh. Marilah. Awak jalan terus ni, sampai simpang kiri yang mula-mula nanti awak masuk. Jalan terus sampai hujung. Kat situlah rumah mama saya.” Terang Syazril Zulfiqar.

Qhashifa Zuniqa membetulkan tempat duduknya semula. Signal kanan diberi, brek tangan diturunkan dan kereta mula bergerak naik ke jalanraya. Kereta dipandu perlahan mencari simpang yang dikatakan oleh Syazril Zulfiqar tadi. Signal kiri diberi dan kereta dibelok masuk. Sampai ke hujung jalan, Qhashifa Zuniqa memberhentikan kenderaan dihadapan rumah banglo berwarna peach yang tersergam indah.

“Jemputlah masuk awak.” Pelawa Syazril Zulfiqar setelah Qhashifa Zuniqa memberhentikan kenderaannya.

“Tak apalah awak. Saya balik dululah. Ada hal lain pulak lepas ni.” Qhashifa Zuniqa cuba berhelah untuk tidak singgah di situ.

“Ala wak, singgahlah sekejap. Makan tengahari dulu di rumah saya. Mama pun mesti dah masak lebih ni. Tadi saya dah beritahu mama awak hantar saya balik.” Syazril Zulfiqar sebenarnya ingin memandang wajah itu lebih lama. Mempelawa makan hanyalah alasannya agar gadis itu akan berada lebih lama di hadapannya.

“Saya minta maaf awak. Tadi papa saya ada call, dia tunggu saya di rumah.” Qhashifa Zuniqa cuba mengelak dengan menggunakan alasan papanya menunggu di rumah.

“Ala… sekejap aje wak. Mama saya nak jumpa awak.”

“Kenapa mama awak nak jumpa saya? Saya takutlah, nanti mama awak marah saya pulak.”

“Tak adalah, mama nak ucap terima kasih sebab hantar saya balik. Marilah masuk.”
Hendak tak hendak, Qhashifa Zuniqa mengunci pintu keretanya dan mengikut Syazril Zulfiqar masuk ke dalam rumah. Sebaik pintu dibuka, tersembul wajah Puan Maryam, mama Syazril Zulfiqar.

“Mama, ni Qhashifa Zuniqa. Dia yang Fiq ceritakan pada mama tadi. Shifa, ni mama saya.” Syazril Zulfiqar mengenalkan kedua wanita itu.

“Apa khabar makcik?” Qhashifa Zuniqa menghulurkan tangan bersalaman dengan Puan Maryam. Tangan Puan Maryam diciumnya.

“Alhamdulillah, makcik sihat. Terima kasih hantarkan anak makcik ni ke pusat rawatan dan terima kasih juga hantarkan balik ke rumah.”

“Maafkan saya makcik. Tadi saya lalai sikit, sebab tu Fiq tercedera.”

“Tak apalah, perkara dah nak jadi. Fiq pun tak apa-apa, cedera sikit aje.”

“Ma, Fiq laparlah. Shifa pun tak makan lagi. Kesian dia, sebab nak hantar Fiq balik, dia terpaksa batalkan janji nak lunch dengan papa dia.” Syazril Zulfiqar membuat muka kasihan.

“Saya tak kisah makcik. Lagipun saya tak boleh lama ni, papa dah tunggu dekat rumah.”

“Dah, mama dah suruh bibik masakkan lebih tadi. Jom! Kita makan.”

“Mari Shifa, lepas makan nanti, barulah awak balik ye.”

Mereka semua berjalan menuju meja makan. Mata Qhashifa Zuniqa terbeliak memandang juadah yang penuh di atas meja. Semuanya masakan kampung. Dah lama dia tak makan masakan kampung. Kalau balik bercuti barulah dia dapat merasa masakan seperti itu. Sewaktu di luar negara, tak merasa masakan sebegitu.

“Kenapa Shifa? Tak makan masakan kampung ke? Makcik minta maaflah. Makcik boleh suruh bibik masakkan yang lain untuk Shifa.” Puan Maryam menggamit pembantu rumahnya datang ke meja makan.

“Eh! Tak adalah makcik. Shifa dah lama tak makan masakan kampung macam ni. Kat tempat Shifa belajar dulu tak ada semua ni. Kalau nak makan, tunggulah Shifa balik bercuti dulu.” Terang Qhashifa Zuniqa malu-malu.

“Oh! Shifa belajar dekat mana dulu?” Puan Maryam bertanya sambil tangannya menyendukkan nasi ke dalam pinggan.

“London, makcik. Semalam baru Shifa balik sini.” Jawab Qhashifa Zuniqa sambil menyambut pinggan berisi nasi yang dihulurkan oleh Puan Maryam.

“Shifa balik cuti ke?” Soal Puan Maryam lagi.

“Tak. Shifa dah habis belajar dah.” Jawab Qhashifa Zuniqa sambil tangannya menceduk lauk udang masak lemak cili api yang terhidang di atas meja.

“Makanlah Shifa. Fiq ni kalau balik memang makcik suruh bibik buatkan udang masak lemak cili api. Itu makanan kegemaran dia tu. Fiq! Apa senyum-senyum tu. Makan cepat.” Jerkahan Puan Maryam mengejutkan Syazril Zulfiqar. Kelam-kabut dia menyuap makanan ke dalam mulut. Qhashifa Zuniqa hanya tersenyum.

“Apalah mama ni. Buat malu orang je.” Gumamnya dalam hati.

Selesai menjamu selera, Qhashifa Zuniqa menawarkan diri membantu mengemaskan meja makan namun dihalang oleh Puan Maryam. Katanya ada pembantu rumah untuk menyiapkan semua kerja. Qhashifa Zuniqa diajak berehat sebentar di ruang tamu. Seketika kemudian kedengaran telefon bimbit Qhashifa Zuniqa berdering.

“Maafkan saya makcik, papa saya call. Hello papa. Ye, Shifa nak balik ni. Papa dah ada dekat rumah? Papa makan dulu ye. Shifa dah makan dah ni. Ye papa. Kita jumpa kejap lagi. Assalamualaikum.” Panggilan dimatikan. Qhashifa Zuniqa memandang Puan Maryam dan Syazril Zulfiqar bersilih ganti.

“Kenapa Shifa? Papa panggil balik ye?” Soal Puan Maryam yang terdengar perbualan Qhashifa Zuniqa sebentar tadi.

“Ye, makcik. Saya mintak diri dulu ye. Fiq, awak habiskan ubat tu. Tentang motosikal awak tu janganlah awak risau. Saya akan minta mekanik hantarkan ke sini selepas siap diperbaiki.”

“Senang-senang nanti Shifa datanglah rumah makcik lagi ye. Nanti boleh makan masakan kampung lagi. Kita pun boleh sembang-sembang. Makcik pun tak ada anak perempuan nak ajak bersembang. Fiq ni bukannya ada masa untuk makcik. Asyik sibuk dengan urusan dia sendiri aje.” Wajah Puan Maryam seperti mengharap.

Terasa simpati pula Qhashifa Zuniqa mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Puan Maryam. Syazril Zulfiqar hanya menjadi pemerhati dan pendengar sahaja akan bicara ibunya dan gadis yang telah mula mengisi ruang hatinya itu.

“Insyaallah makcik. Jika saya ada masa lapang, saya jenguk makcik di sini. Itupun kalau tak ada yang marahlah.” Kata-kata Qhashifa Zuniqa yang ditujukan kepada Syazril Zulfiqar diakhiri dengan tawa perlahan. Syazril Zulfiqar hanya membuat wajah tidak mengerti. Puan Maryam turut tertawa mendengar kata-kata Qhashifa Zuniqa.

“Takde siapa yang nak marah Shifa. Kalau dia marah, kenapa dia tak mahu temankan mama dia ni. Kalau nak semua kasih-sayang dan perhatian mama dia ni, dia pun kenalah beri sepenuh perhatian kepada mama dia ni.” Puan Maryam tersenyum melihat Syazril Zulfiqar yang mula menarik muka.

Setelah meminta diri, Qhashifa Zuniqa meninggalkan rumah Puan Maryam. Langkahnya diikuti oleh Syazril Zulfiqar dengan pandangan yang tidak dapat dikenalpasti. Hanya Syazril Zulfiqar yang mengerti apa yang tersirat di dalam hatinya.

Kereta Qhashifa Zuniqa yang meninggalkan ruang meletak kenderaan di rumah Puan Maryam dipandang hingga hilang. Sebaik kereta Qhashifa Zuniqa hilang dari pandangan, Puan Maryam menepuk bahu anaknya.

“Apsal pandang anak dara orang sampai tembus tu? Kalau suka, pikatlah. Mama pun suka dengan Shifa tu.” Ucap Puan Maryam memberi semangat kepada anak teruna kesayangannya itu.

“Ma, Fiq tak beranilah. Fiq baru kenal dia tadi. Manalah tahu dia dah ada teman lelaki. Kira Fiq kacau daun pulak nanti.” Syazril Zulfiqar berlalu ke ruang tamu. Punggung dihenyak ke sofa yang terletak di hadapan tv. Puan Maryam membontoti anaknya itu. Di dalam hatinya tahu yang anak terunanya itu telah jatuh suka kepada Qhashifa Zuniqa yang manis dan lemah lembut. Dia sendiripun sudah terpikat dengan tingkah laku gadis itu.

“Fiq, kenapa bawak motosikal. Kereta Fiq mana?” Soal Puan Maryam.

“Ma, Fiq dah lambat tadi. Tu sebab Fiq pinjam motosikal Zaki. Zaki cuti hari ni. Mana tahu terlanggar pulak pintu kereta Shifa.” Katanya sambil tersenyum mengingatkan kejadian pagi tadi.

“Macam mana boleh terlanggar pulak. Fiq bawa laju ye?” Soal Puan Maryam lagi.

“Ma ni kan, soal orang macam polis pencen. Fiq bawak tak adalah laju sangat tapi entah macam mana boleh terlanggar juga. Agaknya si Shifa tu buka pintu tak pandang kiri kanan.” Katanya sambil tersengih.

“Fiq, entah-entah itu jodoh Fiq tak? Anak mama ni pun dah dua puluh tujuh tahun dah.” Puan Maryam tersenyum melihat anaknya yang sudah merah muka menahan malu.

“Mama ni kan, entah-entah orang tu dah ada teman lelaki. Entah-entah dah bertunang.” Terdapat sedikit rasa kecewa pada nada suaranya.

“Anak mama sedih ye? Fiq, belum cuba belum tahu.” Puan Maryam meninggalkan anaknya bersendirian melayan perasaan. Dia tahu Syazril Zulfiqar ada menyimpan perasaan pada gadis manis itu. Dia juga berharap gadis semanis dan sesopan itu akan menjadi menantunya, isteri kepada anak kesayangannya.

Syazril Zulfiqar menyeluk sakunya. Dikeluarkan kad nama yang diberikan oleh Qhashifa Zuniqa semasa di pusat rawatan tadi. Kad itu direnungnya.

“Qhashifa Zuniqa. Cantik namanya secantik orangnya. Lemah-lembut penuh kesopanan. Kalaulah kau belum berpunya, aku rela menjadi pencintamu yang setia.” Syazril Zulfiqar bermonolog di dalam hati.” Tanpa disedarinya, Puan Maryam memerhatikannya dari satu sudut rumah.

“Anak aku ni dah angau ni. Tak lama lagi bermenantulah aku.” Puan Maryam berlalu ke taman mininya sambil tersenyum.

Beg duit yang diletakkan di poket belakang dikeluarkan oleh Syazril Zulfiqar. Kad nama yang sudah puas direnung disimpan di dalam beg duit itu. Beg duit itu diletakkan di atas meja. Syazril Zulfiqar bangun dari sofa. Langkah diatur perlahan menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas rumah banglo dua tingkat itu.

Di dalam bilik, Syazril Zulfiqar merebahkan dirinya di atas katil bertilam empuk yang terletak di tepi tingkap biliknya. Sambil berbaring dia terbayang wajah Qhashifa Zuniqa yang ditemuinya secara tidak sengaja tadi. Tanpa sedar dia terlena bersama bayangan wajah manis itu.

0 comments: