BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, July 21, 2009

Akhirnya..... Cinta Itu Part 4

Azan subuh yang mendayu memanggil umat manusia menyembah Allah kedengaran di corong pembesar suara masjid yang berdekatan. Alarm semulajadi itu turut menyedarkan Qhashifa Zuniqa yang lena di atas tilam empuknya. Segera dia mengeliat bangun membersihkan diri. Selesai mandi dan berwuduq, telekung yang tersangkut kemas di penyidainya disarungkan ke tubuh. Sejadah dibentang mengikut arah kiblat. Tanggungjawab terhadap Allah dilaksanakan sekusyuknya. Selesai mendirikan solat fardhu Subuh dua rakaat, Qhashifa Zuniqa memohon doa ke hadrat ilahi agar roh ibunya ditempatkan di dalam golongan orang yang beriman. Dipohonkan juga agar papanya beroleh kesejahteraan dan dipohonkan agar dipermudahkan kehidupannya.

Usai memohon doa, Qhashifa Zuniqa mencapai pakaian yang telah siap digosok di dalam almari. Sehelai seluar slack berwarna hitam dan sehelai blouse berwarna biru muda disarungkan ke tubuhnya yang tinggi lampai. Rambutnya yang panjang mengurai disisir kemas. Wajahnya yang sedia putih gebu dan bibir yang merah basah tidak ditambah sebarang alat solek. Beg tangan berwarna hitam disandang di bahu. Setelah berpuashati dengan penampilannya, Qhashifa Zuniqa menutup suis lampu dan alat pendingin lalu menutup pintu bilik. Kaki diatur perlahan turun ke tingkat bawah.

Dikerlingnya jam yang melekap di pergelangan tangannya. Jarum pendek menunjuk ke angka lapan. Jarum panjang pula menunjuk ke angka dua belas. Sebaik ternampak kelibatnya di tangga, Mak Esah yang telah siap menghidangkan juadah sarapan pagi memanggilnya bersarapan.

"Shifa dah siap ye? Marilah sarapan dulu. Mak Esah buatkan nasi lemak pagi ni.” Sapa Mak Esah sambil tangannya ligat menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan. Pinggan berisi nasi lemak itu lalu diletakkan di hadapan Qhashifa Zuniqa. Cawan beralas yang berada di tepi pinggan diambil lalu air milo yang masih panas di dalam teko dituang ke dalam cawan itu sehingga penuh. Cawan yang sudah berisi diletakkan semula di atas piring alasnya.

“Hmmm… Sedapnya bau.” Qhashifa Zuniqa menarik kerusi lalu duduk. Air milo yang masih berasap dihembus sedikit lalu dihirup perlahan. Nasi lemak disuapkan ke mulut dan dikunyah perlahan.

“Dah lama Shifa tak makan nasi lemak buatan Mak Esah. Sedap.” Ucapnya sambil tersenyum. Mak Esah yang berdiri di hadapannya turut tersenyum mendengar pujian dari anak majikannya yang telah dianggap seperti anak sendiri itu.

“Mak Esah tak makan sama?” Soal Qhashifa Zuniqa.

“Shifa makanlah dulu. Nanti Mak Esah lapar, Mak Esah makan.” Balas Mak Esah sambil tersenyum. Memang pemurah dengan senyuman Mak Esah ni bila berhadapan dengan Qhashifa Zuniqa yang sentiasa tersenyum dan sangat menghormati orang yang lebih tua tanpa mengira kedudukan.

Seketika kemudian, Datuk Affendi turun ke tingkat bawah. Mak Esah menuangkan air milo ke dalam cawan dan menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan sebaik terpandang Datuk Affendi yang sedang menuruni anak tangga.

“Jemput makan Datuk.” Pelawa Mak Esah. Datuk Affendi mengatur langkah menuju ke meja makan. Akhbar yang sedia terletak di atas meja diselak satu persatu helaiannya. Setelah berita-berita penting diketahui, nasi lemak mula disuapkan ke mulut. Air milo yang hampir suam dihirup.

“Shifa dah siap ke? Jomlah.” Datuk Affendi bangun dari kerusi lalu menuju ke kereta yang sudah siap menunggu di dalam porch. Mak Esah datang menghantarkan beg bimbit Datuk Affendi yang diambilnya dari dalam bilik bacaan. Kedua beranak itu masuk ke dalam kereta Mercedes yang dipandu Pak Kadir. Kereta lalu keluar dari porch dan meluncur laju di atas jalanraya.

Di dalam kereta tiada sebarang perbualan yang berlaku di antara kedua beranak itu sebaik Mercedes hitam itu berada di atas jalanraya. Qhashifa Zuniqa hanya melayan perasaan. Walaupun bekerja di pejabat kepunyaan papanya, Qhashifa Zuniqa tetap merasa gementar. Tidak tahu bagaimana penerimaan para pekerja nanti. Adakah dia akan mendapat kerjasama dari para pekerja ataupun dibenci oleh mereka. Lagipun inilah kali pertama dia bekerja setelah tamat belajar.

“Shifa kenapa?” Soal Datuk Affendi bila dilihatnya anak gadisnya itu seolah melamun jauh.

“Shifa risaulah pa.” Balas Qhashifa Zuniqa.

“Apa yang nak dirisaukan?” Soal Datuk Affendi lagi.

“Shifa risau fikirkan penerimaan para pekerja nanti. Diorang boleh beri kerjasama ataupun diorang benci Shifa.”

“Sayang, diorang tak akan benci Shifa kalau Shifa buat diorang seperti biasa. Walaupun Shifa anak bos, Shifa buat seperti Shifa pun pekerja macam diorang. Papa percaya diorang semua pasti akan menghormati Shifa dan beri kerjasama sepenuhnya pada anak papa ni.” Datuk Affendi tersenyum. Senyuman itu dibalas oleh Qhashifa Zuniqa. Hatinya terasa sedikit lega mendengarkan kata-kata yang terbit dari mulut papanya sebentar tadi.

Kereta yang dipandu Pak Kadir memasuki perkarangan bangunan pejabat Datuk Affendi. Pintu dibuka dan turunlah kedua penumpangnya. Qhashifa Zuniqa berjalan beriringan dengan Datuk Affendi. Sempat lagi dia menjawab ucapan selamat pagi yang dilontarkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas. Kedua beranak itu menuju ke arah lif. Di hadapan pintu lif terdapat beberapa orang pekerja Datuk Affendi yang baru sampai. Mereka mengucapkan selamat pagi kepada Datuk Affendi. Sambil itu sempat juga mereka menjeling kepada gadis manis yang sentiasa tersenyum yang beriringan dengan Datuk Affendi. Lif terbuka dan kedua beranak itu masuk ke dalam lif sama seperti pekerja-pekerja yang lain. Butang dua belas ditekan.

Sebaik lif sampai ke tingkat dua belas, Datuk Affendi keluar diiringi oleh Qhashifa Zuniqa. Kedua mereka masuk ke dalam bilik Datuk Affendi. Setelah meletakkan beg bimbitnya, Datuk Affendi menekan butang interkom di atas mejanya.

“Julia, masuk bilik saya sekejap.”

“Baik Datuk.” Terdengar suara setiausaha Datuk Affendi menjawab di hujung talian. Seketika terdengar ketukan di pintu bilik Datuk Affendi.

“Masuk.”

“Selamat pagi Datuk.” Sapa Julia. Dia tersenyum kepada Qhashifa Zuniqa. Senyuman dibalas.

“Julia, inform semua ketua jabatan. Saya nak adakan mesyuarat pukul sepuluh nanti.” Arah Datuk Affendi.

“Boleh saya tahu mesyuarat berkenaan apa Datuk?” Soal Julia perlahan.

“Ni anak saya yang baru balik dari London, Qhashifa Zuniqa. Anak saya akan menggantikan tempat Mansor.” Terang Datuk Affendi.

“Oh! Ini Qhashifa Zuniqa. Saya ingatkan siapa tadi. Selamat datang Cik Qhashifa Zuniqa.” Ucap Julia sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan gadis manis itu.

“Panggil saya Shifa saja Kak Julia.” Tutur Qhashifa Zuniqa lembut.

“Baiklah Shifa. Ada apa-apa lagi Datuk?” Soal Julia. Buku catatan yang sentiasa dibawa bersamanya ditutup selepas butir-butir yang penting dicatatkan di dalamnya.

“Itu saja. Awak boleh keluar dulu Julia. Terima kasih.” Balas Datuk Affendi.

“Sama-sama Datuk.” Julia berpaling lalu keluar dari bilik Datuk Affendi.

Sebaik Julia sampai di mejanya, dua tiga orang pekerja Datuk Affendi menerpa ke arahnya. Mereka cuba mengorek siapakah gadis manis yang berada di dalam bilik Datuk Affendi.

“Siapa perempuan cantik yang ikut Datuk tadi Julia?” Soal Hafiz.

“Iyelah Julia, siapa tu? Cantik sungguh.” Sampuk Yaser sambil tersenyum.

“Korang jangan cuba-cuba kacau awek tu. Anak kesayangan Datuk tu. Karang tak pasal-pasal korang hilang kerja pulak.” Jawab Julia.

“Ish! Cantik betul anak dara Datuk ni. Tak pernah nampak datang sini.” Jawab Yaser.

“Dia baru balik dari London. Dia akan gantikan tempat Encik Mansor.” Terang Julia.

“Oh! Untung kan jadi anak Datuk, habis belajar tak payah susah-susah cari kerja, kerja dah sedia menunggu. Masuk kerja aje dah jadik manager.” Sampuk Hafiz. Julia hanya tersenyum mendengar kata-kata mereka.

“Sudahlah, pergilah buat kerja korang. Aku nak aturkan mesyuarat Datuk ni.” Kedua-dua jejaka itu kembali ke meja masing-masing dan meneruskan kerja-kerja yang belum disiapkan.

Jam sembilan lima puluh minit pagi Qhashifa Zuniqa mengikut Datuk Affendi masuk ke dalam bilik mesyuarat. Sewaktu pintu dibuka, bilik mesyuarat telah dipenuhi oleh semua ketua jabatan. Qhashifa Zuniqa mengambil tempat kosong di sisi Datuk Affendi.

“Selamat pagi semua. Saya percaya kamu semua telah tahu sebab utama mesyuarat ini diadakan.” Semua yang ada menganggukkan kepala. Mereka memandang ke arah Datuk dan seketika ke arah Qhashifa Zuniqa.

“Saya kenalkan anak saya, Qhashifa Zuniqa yang akan menggantikan tempat Mansor sebagai pengurus jabatan kewangan.” Tutur Datuk Affendi. Qhashifa Zuniqa bangun lantas mengenalkan dirinya kepada semua ketua jabatan yang ada. Kesopanan yang ditunjukkannya memikat hati. Ramai yang tidak berkelip mata ketika memandangnya berucap.

“Ehem…” Mendengarkan deheman Datuk Affendi, mereka kembali ke alam nyata. Datuk Affendi hanya tersenyum. Semua ketua jabatan mengenalkan diri masing-masing. Satu jam kemudian mesyuarat itu ditamatkan. Mereka semua kembali ke bilik masing-masing. Datuk Affendi menghantar anak gadisnya ke bilik Encik Mansor yang kini telah menjadi milik Qhashifa Zuniqa.

“Ini bilik sayang. Kalau ada apa-apa yang Shifa tak faham, Shifa boleh rujuk pada pembantu Shifa kat luar tu.” Tutur Datuk Affendi sambil menunjukkan ke arah meja yang terdapat di luar pintu bilik Qhashifa Zuniqa. Kelihatan di situ seorang gadis yang bertudung sedang mengadap komputer.

“Baik pa.” Jawab Qhashifa Zuniqa.

“Papa balik bilik papa dulu. Nanti kalau papa free, papa datang jenguk anak papa ni ye.” Datuk Affendi mengatur langkah keluar dari bilik Qhashifa Zuniqa. Sampai di hadapan meja pembantu Qhashifa Zuniqa, Datuk Affendi berhenti seketika. Kelihatan Datuk Affendi berkata sesuatu kepada gadis itu dan gadis itu mengangguk sambil memandang sekilas dan tersenyum kepada Qhashifa Zuniqa.

“Datuk, wakil dari Syarikat Teras Maju menunggu di dalam bilik Datuk. Sepatutnya Datuk ada mesyuarat dengan wakil mereka jam sebelas pagi ni.” Terang Julia sejurus Datuk Affendi sampai di meja Julia.

“Oh! Saya terlupa. Julia, panggilkan Shifa ke mari. Kita bermesyuarat dalam bilik saya ajelah. Buatkan air ye.” Pesan Datuk Affendi sebelum masuk ke dalam biliknya.

“Baiklah Datuk.” Julia segera mendail nombor sambungan bilik Qhashifa Zuniqa. Tak sampai lima minit kemudian, Qhashifa Zuniqa sampai di bilik Datuk Affendi. Pintu bilik diketuk dan Qhashifa Zuniqa masuk ke dalam bilik itu. Sebaik terpandang wakil dari Syarikat Teras Maju, Qhashifa Zuniqa dan lelaki yang berada di hadapan Datuk Affendi kelihatan sama-sama terkejut.

“Fiq?” Jerit Qhashifa Zuniqa.

“Awak?” Kedengaran suara Syazril Zulfiqar. Datuk Affendi hanya memandang Syazril Zulfiqar dan kemudian memandang anak gadisnya.

“Kamu berdua ni kenal ke?” Soal Datuk Affendi.

“Papa, inilah Syazril Zulfiqar yang melanggar pintu kereta Shifa pagi semalam.” Terang Qhashifa Zuniqa.

"Oh! Inilah orangnya yang buat anak papa tersenyum sorang-sorang ye?” Mendengarkan kata-kata Datuk Affendi, Syazril Zulfiqar mengerutkan keningnya dan seketika kemudian turut tersenyum. Datuk Affendi juga turut tertawa kecil apabila melihatkan wajah anak gadisnya yang berubah kemerahan.

“Papa! Mana adalah.” Merona merah wajah putih Qhashifa Zuniqa diusik Datuk Affendi. Rasa malu bertambah menyerbu dalam dirinya apabila terpandang bibir Syazril Zulfiqar yang mengukir senyuman.

“Fiq, papa kamu bila balik dari oversea?” Soal Datuk Affendi setelah tawanya reda.

“Insyaallah hujung minggu ni uncle.” Jawab Syazril Zulfiqar.

“Papa dengan Fiq ni dah kenal lama ke?” Soal Qhashifa Zuniqa.

“Shifa, papa Fiq ni kawan lama dan rakan bisnes papa. Kalau papa Fiq ke luar negara, Fiq yang uruskan syarikat papanya tu.” Terang Datuk Affendi. Qhashifa Zuniqa hanya tersenyum sambil mengangguk.

Terdengar ketukan di pintu bilik Datuk Affendi. Pintu terbuka dan Julia masuk membawakan air minuman. Mesyuarat diteruskan sehingga persetujuan antara keduanya tercapai.

0 comments: