BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, March 6, 2010

Blog Telah Bersatu

Semua karya di sini telah disatukan di bawah satu blog. Untuk membaca sambungan karya yang telah sedia ada di sini, sila klik ke http://adrinmalina.blogspot.com

Friday, February 26, 2010

Luka 2

Jam di pergelangan tangan dikerling sekali lagi. Kemudian matanya beralih pula ke arah pintu bilik Encik Amri. Tugas sebagai setiausaha kepada Pengarah Syarikat yang sedang berkembang maju amat memerlukan komitmen yang tinggi darinya. Fatiha mengeluh perlahan. “Pukul berapa bos nak balik ni? Dah pukul enam dah ni. Kalau jalan sesak, alamat malamlah baru aku sampai rumah.”

Fatiha tekun menghadap skrin komputer di hadapannya sambil sesekali matanya menjeling ke arah bilik ketuanya itu. Jemarinya pantas menaip surat-surat yang diarahkan oleh ketuanya petang tadi. Pergerakan jarinya terhenti seketika apabila telinganya menangkap bunyi pintu terbuka. Pantas pandangan matanya dilarikan ke arah pintu bilik Encik Amri. Kelihatan ketuanya itu telah siap sedia menggalas beg laptop di bahu kanannya dan tangan kirinya memegang sebuah fail. Fatiha melemparkan senyum ketika pandangannya bertautan dengan ketuanya itu. Encik Amri turut tersenyum sambil melangkah ke arahnya.

“Tiha, saya nak balik ni. Fail ni saya bawa balik semak dekat rumah. Awak pula nak balik pukul berapa ni?” Fatiha mengangkat muka memandang ke arah jejaka yang sedang berdiri di sisi mejanya.

“Sekejap lagi Encik Amri. Ada satu surat lagi belum siap.” Balasnya sedikit gugup apabila pandangan mata ketuanya itu memanah tajam ke arah wajahnya. Merona merah wajahnya kerana keseganan.

“Oh! Kalau begitu saya pergi dululah. Jangan lupa kunci pintu nanti.” Encik Amri sempat menitip pesan sebelum berlalu meninggalkan Fatiha sendirian menghabiskan tugasannya.

“Baik Encik Amri.” Fatiha melemparkan senyum mengiringi langkah ketuanya itu. Encik Amri terus tersenyum walaupun dia tahu senyumannya itu tidak dapat dilihat oleh Fatiha, gadis yang telah mendapat tempat teratas di dalam hatinya semenjak kali pertama terpandang gadis itu.

“Assalamualaikum.” Salam yang dihulur dibalas Fatiha dengan suara yang perlahan. Matanya masih menuruti langkah ketuanya itu sehingga jejaka itu hilang dari pandangannya.

Wednesday, February 24, 2010

Luka 1

Kaki dihayun tanpa tujuan membawa sekeping hati yang luka berdarah. Drama sebabak sebentar tadi menghancurluluhkan jiwanya. Sangkanya kepulangan secara rahsia mampu memeranjatkan orang yang paling disayanginya namun sebaliknya yang terjadi. Dia sendiri yang dikejutkan oleh kenyataan yang selama ini tidak diketahuinya.

Kemesraan dua manusia yang sangat disayangi dan dipercayainya menyebabkan airmatanya menitis. Sungguh dia tidak menyangka, seorang sahabat yang sudah dianggap seperti adik sendiri sanggup memadu kasih dengan kekasih sahabat sendiri. Sungguh tidak dia menyangka kekasih yang pernah berjanji sehidup semati tergamak mengkhianati janjinya sendiri.

Tidak sanggup dia terus menunggu dan membiarkan matanya menyaksikan kejutan yang benar-benar membunuh semangatnya lantas kaki terus dihayun pergi meninggalkan kedua insan tersayang asyik berbahagia di atas kelukaannya.


Kakinya terus melangkah tanpa arah tujuan dan akhirnya setelah kepenatan, punggung dilabuhkan di atas bangku batu di pinggir kolam. Matanya terus menyoroti ketenangan yang terbentang di hadapannya.

“Andai aku tahu apa yang akan terjadi di masa depan, pasti aku tidak akan menyerahkan seluruh cintaku kepada lelaki yang tidak tahu menghargainya.” Terluah kekesalan dari seulas bibirnya yang pucat. Air jernih di pinggir mata yang cuba ditahan sedari tadi akhirnya mengalir juga membasahi pipi. Terhenjut-henjut sekujur tubuh itu menangis sendirian.

“Ehem!” Bunyi deheman yang tiba-tiba memecah kesunyian sedikit memeranjatkannya lantas muka yang ditekup di pehanya diangkat perlahan. Wajah didongakkan untuk melihat gerangan empunya suara. Airmata yang telah berhenti menitis tertumpah kembali tatkala empunya suara menghulurkan sehelai saputangan kepadanya.

“Sudahlah Tiha. Janganlah bersedih. Tak guna kau menitiskan airmata kerana seorang lelaki yang tak tahu menghargai sebuah cinta yang tulus yang telah kau berikan. Tentu ada hikmah di sebalik kejadian ini. Redhakanlah.” Taufiq melabuhkan punggung di sisi Fatiha. Wajah Fatiha yang murung direnung penuh kasih. Sayangnya terhadap Fatiha masih utuh terpahat dalam hati namun dia terpaksa menyimpan rasa itu sendiri demi kerana persahabatannya dengan Fatiha.

“Entahlah Fiq. Aku tak tahu apa nak buat sekarang. Aku sungguh tak sangka sahabat baik aku sanggup buat aku macam ni. Sanggup Sahana menikam aku dari belakang. Apa salah aku Fiq? Apa dosa aku?” Bertalu-talu soalan terhambur dari bibirnya. Taufiq masih terus menatap wajah itu. Membuak-buak rasa kasihan apabila melihat mata Fatiha yang masih bersisa manik-manik air jernih memandang tajam ke arah tengah kolam. Renungan yang seolah tembus jauh ke dasar kolam.

“Kau tak salah Tiha. Mereka yang tak tahu nak menghormati perasaan orang lain.Biarkan ajelah mereka. Aku percaya satu hari nanti mereka akan dapat balasan atas perbuatan mereka tu.” Taufiq menyeka airmata di pipi Fatiha. Langsung tiada bantahan dari gadis itu. Mungkin fikirannya tiada di situ waktu itu. Menerawang entah ke mana.

“Tolong aku Fiq. Tolong aku buangkan ingatan aku ni. Aku tak nak hidup aku dihantui perbuatan diorang.” Taufiq terkejut apabila Fatiha tiba-tiba sahaja berpaling kepadanya lalu tangan gadis itu menggoncang tubuhnya. Airmata terus melimpah laju dari kolam mata gadis itu.

“Insyaallah Tiha, insyaallah. Aku akan sentiasa ada di sisi kau selagi kau memerlukan aku.” Tangan kecil gadis itu yang masih berada di bahunya digapai lalu terus digenggam erat seolah tidak akan dilepaskan lagi. Namun dia sedar itu tak mungkin terjadi di antara mereka. Perlahan-lahan jemari halus itu dilepaskan.

“Kenapa kau baik sangat dengan aku Fiq sedangkan dulu aku pernah kecewakan kau?” Penuh rasa bersalah Fatiha menuturkan soalan. Wajah Taufiq yang tidak beriak dipandang sayu. Dia tahu perasaan lelaki itu terhadapnya namun dia tidak boleh menerima cinta Taufiq. Dia tidak mahu persahabatan yang bertukar kepada percintaan akan lenyap bila cinta itu terputus di tengah jalan. Dia tidak sanggup kehilangan seorang sahabat seperti Taufiq yang begitu sempurna.

“Sebab aku sayang kau Tiha. Kau kan sahabat aku.” Ringkas jawapan Taufiq mematahkan persoalan yang berligar di fikiran Fatiha. Sedikit-sebanyak dia merasa gembira kerana lelaki itu masih menyayanginya sebagai seorang sahabat.

Thursday, January 28, 2010

Ketandusan Entry Baru

Aku sebenarnya nak minta maaf kepada sesiapa yang membaca cerita kat blog aku ni. Dah lama cerita Akhirnya.... Cinta Itu tak bersambung. Aku kekurangan idea sekarang ni. Aku tengah berusaha. Kelmarin dapat ler menconteng sikit kat bab baru.

Tadi idea untuk citer ni tak ada tapi idea terbit untuk cerpen 'Luka' so aku taip sikit ler cerpen tu. Tu pun tak siap lagi. Mata dah semakin mengantuk, idea pun semakin slow. Nanti kalau ada idea lagi aku tambah.

Novel motivasi, tajuk cadangan Di Sini Kasihnya Tertumpah sedang dalam proses menconteng isi. Kerana Tanah Itu baru siap satu mukasurat dan aku tak tahu nak jadikan ia novel ataupun cerpen sahaja. Ada beberapa tajuk lagi yang sedang dalam proses menconteng isi.

Doakan aku diberi limpahan idea.

Wednesday, January 13, 2010

Cerita

Beberapa cerita sedang dalam proses mencontengkan isi.

Doakan aku dapat menghuraikan isi-isi yang ada sehingga menjadi sebuah cerita yang menarik.