BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, September 8, 2009

Akhirnya.......Cinta Itu Part 6

“Morning papa!” Sapa Qhashifa Zuniqa sejurus Datuk Affendi melangkah masuk ke ruang makan. Segera teko dicapai dan isinya dituang ke dalam cawan yang berada di hadapan Datuk Affendi oleh Mak Esah yang setia berdiri di sisi meja. Usai menuang air, cawan segera diletakkan kembali di atas piring di hadapan Datuk Affendi.

“Jemput minum Datuk.” Pelawa Mak Esah sambil tangannya mencapai pinggan yang sedia terletak di atas meja dan tanpa berlengah bihun goreng di dalam mangkuk dicedokkan ke dalam pinggan tersebut. Sebiji telur goreng diletakkan di atas bihun tersebut. Pinggan berisi bihun itu lantas dihidangkan di hadapan Datuk Affendi.

“Jemput makan Datuk. Hari ni Mak Esah gorengkan bihun putih aje.” Sekali lagi terdengar pelawaan dari mulut Mak Esah.

“Terima kasih Mak Esah.” Tanpa berlengah Datuk Affendi menyuapkan bihun ke dalam mulut. Suasana di meja makan menjadi sunyi tanpa sebarang perbualan di antara kedua beranak itu. Hanya kedengaran bunyi sudu dan garfu yang berlaga dengan pinggan sahaja mengisi ruang. Mak Esah menghilangkan diri ke dapur untuk menyudahkan kerja-kerjanya yang belum selesai.

“Pa.” Seru Qhashifa Zuniqa. Datuk Affendi yang sedang menikmati hidangan di hadapannya terhenti menyuap. Pandangan ditala ke wajah anak gadis kesayangannya.

“Apa dia sayang?” Qhashifa Zuniqa tersenyum mendengar suara lembut Datuk Affendi yang penuh kasih-sayang.

“Jadi ke majlis kesyukuran hujung minggu nanti pa?” Persoalan yang berligar di fikirannya diluahkan. Kalau jadi, banyak perkara yang perlu dilakukan. Kalau tak jadi, senang nak atur rancangan lain memenuhi masa hujung minggu nanti.

“Jadilah sayang. Kenapa? Shifa ada hal lain ke hari tu nanti?” Wajah anak gadis kesayangannya ditatap.

“Takde la pa. Kalau jadi, senanglah Shifa nak cari baju yang sesuai untuk majlis tu nanti.” Otaknya ligat membayangkan pakaian yang ingin dipakai pada hari itu nanti.

“Anak papa nak nampak cantik depan Fiq sekeluarga ye?” Senyuman paling manis dihadiahkan pada anak gadisnya.

“Papa ni.” Merona merah wajah Qhashifa Zuniqa mendengar pertanyaan yang berbaur usikan dari Datuk Affendi.

“Shifa dah siap makan ke? Kalau dah, jomlah kita ke office sekarang. Lambat-lambat sangat nanti, sesak pulak jalan.” Datuk Affendi bangun meninggalkan meja makan. Langkah diatur menuju ke kereta yang siap menunggu. Pak Omar, pemandu Datuk Affendi telah sedia berdiri di muka pintu. Beg bimbit Datuk Affendi diambil dari Mak Esah lalu diletakkan di dalam kereta. Pintu belakang kereta lalu dibuka untuk mempersilakan Datuk Affendi masuk. Datuk Affendi berdiri di sisi kereta sementara menunggu Qhashifa Zuniqa yang sedang melangkah ke arahnya.

“Hari ni Shifa drive sendiri ye pa. Petang nanti, lepas office Shifa nak singgah mall kejap. Nak cari baju.” Dipandangnya wajah Datuk Affendi dengan muka bersalah kerana telah membuatkan Datuk Affendi menunggu. Sungguh Qhashifa terlupa nak beritahu Datuk Affendi awal-awal akan rancangannya.

“Nak cari baju ke atau nak jumpa Fiq?” Sengaja Datuk Affendi mengusik anak gadisnya yang menunjukkan riak wajah bersalah untuk memulihkan keadaan.

“Papa! Shifa nak cari baju la. Bukan nak jumpa dia.” Merona merah wajah Qhashifa Zuniqa diusik Datuk Affendi. Hilang rasa bersalahnya seketika tadi.

“Ala, kalau betul jumpa dia pun apa salahnya. Boleh juga kenal-kenal lebih rapat. Cepat sikit papa terima menantu.” Datuk Affendi masih lagi dalam mood mengusik. Terlupa dia seketika akan kelewatannya.

“Papa ni, sampai ke situ pulak fikirnya. Lambat lagi la papa. Dia tu entah-entah dah ada girlfriend.” Jauh di sudut hatinya, Qhashifa Zuniqa berharap Syazril Zulfiqar masih belum mempunyai teman wanita.

“Kalau takde girlfriend, bolehlah ye dia jadi menantu papa?” Tersipu-sipu Qhashifa Zuniqa diusik Datuk Affendi.

“Jomlah pa, dah lambat ni.” Tangan Datuk Affendi lantas dicapai dan dibawa ke wajahnya. Belakang tangan Datuk Affendi lantas dicium. Satu kucupan di dahi dihadiahkan oleh Datuk Affendi kepada anak gadis kesayangannya itu.

“Pandailah dia nak mengelak.” Datuk Affendi tersenyum. Diperhatikan Qhashifa Zuniqa memboloskan diri ke dalam kereta yang dihadiahkannya dulu.

“Pergi dulu pa. Jumpa kat office nanti.” Qhashifa Zuniqa melambaikan tangan sebaik keretanya bergerak perlahan meninggalkan porch.

“Drive careful sayang. Jangan berangan sambil memandu.” Pesanan dilaungkan buat puteri kesayangan. Senyuman terukir di bibir Datuk Affendi. Mak Esah dan Pak Omar sedari tadi hanya tersenyum melihat gelagat kedua beranak itu.

“Ye pa. Assalamualaikum.” Sempat lagi Qhashifa Zuniqa memberi salam.

“Waalaikumsalam.” Datuk Affendi memboloskan diri ke dalam kereta. Pak Omar menutup pintu dan terus bergerak ke bahagian pemandu. Kereta bergerak perlahan meninggalkan porch dan bergerak laju di atas jalanraya bersaing dengan kenderaan-kenderaan lain meredah kesesakan yang mula ketara.