BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, August 19, 2009

Akhirnya...... Cinta Itu Part 5

“Mama, uncle Fendi jemput kita datang ke rumahnya hujung minggu ni.” Syazril Zulfiqar menyampaikan undangan yang diterima selepas mesyuarat dengan Datuk Affendi siang tadi.

“Kenapa tiba-tiba aje uncle Fendi Fiq jemput kita datang rumah?” Riak wajah Puan Maryam kelihatan kehairanan.

“Ma, uncle Fendi nak buat majlis doa selamat untuk anak gadis kesayangannya. Kalau ma nak tahu, Shifa tu anak uncle Fendi.” Puan Maryam memandang tepat ke wajah anak terunanya dengan wajah sedikit terkejut.

“Iye ke Fiq? Mana Fiq tahu?”

“Tadi masa Fiq pergi pejabat uncle Fendi, Shifa pun ada sekali.”

“Fiq, betulkan apa yang mama pernah kata sebelum ni. Mungkin Shifa tu jodoh Fiq.” Ucap Puan Maryam sambil bibirnya mengukir senyum. Syazril Zulfiqar turut tersenyum malu mendengar kata-katanya ibunya sebentar tadi.

“Nanti papa Fiq balik, mama nak ajak pergi merisik Shifa. Ma nak jadikan dia menantu mama.”

“Ma, tak payahlah buat macam tu. Biar Fiq cuba rapat dengan Shifa dulu. Kalau ada jodoh Fiq dengan Shifa, adalah ma.”

“Kalau dah macam tu cakap Fiq, mama tak boleh nak kata apalah.” Puan Maryam bangun dari sofa dan berlalu ke biliknya. Terbayang rasa terkilan di wajahnya.

Syazril Zulfiqar turut bangun dan berlalu naik ke biliknya. Selepas mandi dan solat, dia berbaring di atas katilnya. Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja dicapai dan nombor Qhashifa Zuniqa didail. Semenjak mengenali Qhashifa Zuniqa, hanya nombor gadis itu sahaja kini yang ada di dalam fikirannya. Setelah menunggu seketika, terdengar suara di hujung talian.

“Hello!”

“Hello Shifa. Dah nak tidur ke?”

“Fiq! Saya belum ngantuk lagilah awak.”

“Dah lewat ni, kenapa tak mengantuk lagi? Tengah buat apa tu?”

“Hurm… Entahlah, tak tau kenapa mata ni tak rasa mengantuk. Saya ingat nak baca novel ni sikit sementara tunggu mata rasa ngantuk.”

“Oh! Ok.”

Suasana sepi seketika. Yang kedengaran hanyalah desah nafas keduanya di dalam talian.

“Kenapa awak call saya ni?” Qhashifa Zuniqa meneruskan perbualan yang terhenti.

“Hurm… Shifa, Fiq nak ajak Shifa keluar esok boleh?”

“Esok saya kerja la Fiq.”

“Kita lunch sama?”

“Fiq, office awak dekat KLCC, office saya dekat Damansara. Macam mana kita nak lunch sama?”

“Tak apa, awak tunggu aje saya kat office awak esok. Tepat pukul satu saya sampai.”

“Ok! Kalau pukul satu awak tak sampai, saya pergi makan sendiri. Deal?”

“Ok, deal!”

“Kalau macam tu, esok ajelah kita sambung bersembang. Selamat malam.”

“Selamat malam sayang.”

Mendengarkan ayat terakhir Syazril Zulfiqar, membuatkan hati Qhashifa Zuniqa berdebar-debar. Jantungnya berdegup kencang. Bukan dia tak pernah mendengar ucapan sayang dari mulut lelaki, tapi kenapa ucapan dari Syazril Zulfiqar membuatkan hatinya berdebar. Sewaktu di London dulu, ramai yang cuba mendekatinya. Ramai yang memanggilnya sayang tapi kenapa tiada apa-apa perasaan yang berlainan apabila ucapan sayang itu singgah di telinganya. Kenapa ungkapan sayang dari lelaki ini bisa meruntun jiwanya. Bisa membuat dia tak ketentuan. Hilang keinginannya untuk meneruskan pembacaan novel yang sedang dipegangnya lantas novel itu diletakkan semula di atas meja sisi yang terletak di tepi katilnya.

Sebaik meletakkan novel tersebut, jemari runcing Qhashifa Zuniqa pantas mencapai segelas air yang telah diletakkan di atas meja sisi tersebut ketika dia memasuki bilik tidurnya itu tadi. Memang sudah menjadi kebiasaan bagi gadis itu untuk menyediakan segelas air suam di sisi katilnya sebagai pelepas dahaga sekiranya terjaga di tengah malam mahupun awal pagi.

Usai melepaskan dahaga, Qhashifa Zuniqa berbaring di atas tilam dengan menyilangkan tangan di atas dahi. Suatu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Fikirannya menerawang memikirkan kata-kata Syazril Zulfiqar sebentar tadi. Penat berfikir, Qhashifa Zuniqa cuba melelapkan matanya dengan harapan dia boleh melupakan kata-kata yang mengasak fikirannya. Puas dia mencuba namun matanya yang terpejam tidak mahu lena. Tubuhnya dikalih, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan dan entah bila masa dia terlena, dia sendiri tidak menyedarinya.

Manakala di sebelah sana, bibir Syazril Zulfiqar menguntum senyuman lebar. Hatinya terlalu gembira apabila pelawaannya mendapat jawapan yang diharap-harapkan. Sungguh hatinya telah terpikat kepada gadis itu. Terlalu istimewa gadis itu di pandangan matanya. “Fiq janji akan menyayangi Shifa selamanya. Hanya Shifa sahaja yang layak memiliki hati Fiq dan menjadi suri hati Fiq.” Lafaz janji ditebarkan di dalam hatinya walaupun gadis itu baru seketika dikenalinya kerana dia tahu dan dia dapat merasakan bahawa gadis itu memang tercipta untuknya. Dengan perlahan mata dipejam dengan harapan lenanya didatangi mimpi indah bersama gadisnya. Seketika kemudian lena bertandang.