BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, February 24, 2010

Luka 1

Kaki dihayun tanpa tujuan membawa sekeping hati yang luka berdarah. Drama sebabak sebentar tadi menghancurluluhkan jiwanya. Sangkanya kepulangan secara rahsia mampu memeranjatkan orang yang paling disayanginya namun sebaliknya yang terjadi. Dia sendiri yang dikejutkan oleh kenyataan yang selama ini tidak diketahuinya.

Kemesraan dua manusia yang sangat disayangi dan dipercayainya menyebabkan airmatanya menitis. Sungguh dia tidak menyangka, seorang sahabat yang sudah dianggap seperti adik sendiri sanggup memadu kasih dengan kekasih sahabat sendiri. Sungguh tidak dia menyangka kekasih yang pernah berjanji sehidup semati tergamak mengkhianati janjinya sendiri.

Tidak sanggup dia terus menunggu dan membiarkan matanya menyaksikan kejutan yang benar-benar membunuh semangatnya lantas kaki terus dihayun pergi meninggalkan kedua insan tersayang asyik berbahagia di atas kelukaannya.


Kakinya terus melangkah tanpa arah tujuan dan akhirnya setelah kepenatan, punggung dilabuhkan di atas bangku batu di pinggir kolam. Matanya terus menyoroti ketenangan yang terbentang di hadapannya.

“Andai aku tahu apa yang akan terjadi di masa depan, pasti aku tidak akan menyerahkan seluruh cintaku kepada lelaki yang tidak tahu menghargainya.” Terluah kekesalan dari seulas bibirnya yang pucat. Air jernih di pinggir mata yang cuba ditahan sedari tadi akhirnya mengalir juga membasahi pipi. Terhenjut-henjut sekujur tubuh itu menangis sendirian.

“Ehem!” Bunyi deheman yang tiba-tiba memecah kesunyian sedikit memeranjatkannya lantas muka yang ditekup di pehanya diangkat perlahan. Wajah didongakkan untuk melihat gerangan empunya suara. Airmata yang telah berhenti menitis tertumpah kembali tatkala empunya suara menghulurkan sehelai saputangan kepadanya.

“Sudahlah Tiha. Janganlah bersedih. Tak guna kau menitiskan airmata kerana seorang lelaki yang tak tahu menghargai sebuah cinta yang tulus yang telah kau berikan. Tentu ada hikmah di sebalik kejadian ini. Redhakanlah.” Taufiq melabuhkan punggung di sisi Fatiha. Wajah Fatiha yang murung direnung penuh kasih. Sayangnya terhadap Fatiha masih utuh terpahat dalam hati namun dia terpaksa menyimpan rasa itu sendiri demi kerana persahabatannya dengan Fatiha.

“Entahlah Fiq. Aku tak tahu apa nak buat sekarang. Aku sungguh tak sangka sahabat baik aku sanggup buat aku macam ni. Sanggup Sahana menikam aku dari belakang. Apa salah aku Fiq? Apa dosa aku?” Bertalu-talu soalan terhambur dari bibirnya. Taufiq masih terus menatap wajah itu. Membuak-buak rasa kasihan apabila melihat mata Fatiha yang masih bersisa manik-manik air jernih memandang tajam ke arah tengah kolam. Renungan yang seolah tembus jauh ke dasar kolam.

“Kau tak salah Tiha. Mereka yang tak tahu nak menghormati perasaan orang lain.Biarkan ajelah mereka. Aku percaya satu hari nanti mereka akan dapat balasan atas perbuatan mereka tu.” Taufiq menyeka airmata di pipi Fatiha. Langsung tiada bantahan dari gadis itu. Mungkin fikirannya tiada di situ waktu itu. Menerawang entah ke mana.

“Tolong aku Fiq. Tolong aku buangkan ingatan aku ni. Aku tak nak hidup aku dihantui perbuatan diorang.” Taufiq terkejut apabila Fatiha tiba-tiba sahaja berpaling kepadanya lalu tangan gadis itu menggoncang tubuhnya. Airmata terus melimpah laju dari kolam mata gadis itu.

“Insyaallah Tiha, insyaallah. Aku akan sentiasa ada di sisi kau selagi kau memerlukan aku.” Tangan kecil gadis itu yang masih berada di bahunya digapai lalu terus digenggam erat seolah tidak akan dilepaskan lagi. Namun dia sedar itu tak mungkin terjadi di antara mereka. Perlahan-lahan jemari halus itu dilepaskan.

“Kenapa kau baik sangat dengan aku Fiq sedangkan dulu aku pernah kecewakan kau?” Penuh rasa bersalah Fatiha menuturkan soalan. Wajah Taufiq yang tidak beriak dipandang sayu. Dia tahu perasaan lelaki itu terhadapnya namun dia tidak boleh menerima cinta Taufiq. Dia tidak mahu persahabatan yang bertukar kepada percintaan akan lenyap bila cinta itu terputus di tengah jalan. Dia tidak sanggup kehilangan seorang sahabat seperti Taufiq yang begitu sempurna.

“Sebab aku sayang kau Tiha. Kau kan sahabat aku.” Ringkas jawapan Taufiq mematahkan persoalan yang berligar di fikiran Fatiha. Sedikit-sebanyak dia merasa gembira kerana lelaki itu masih menyayanginya sebagai seorang sahabat.

0 comments: